ADEGAN LUCAH DI UTUSAN MALAYSIA TIDAK MENGHORMATI SEMUA AGAMA

Kenyataan Media -  3 Mei 2012

Allied Coordinating Committee of Islamic NGO’s (ACCIN) yang dianggotai oleh PERKIM, PUM, MUAFAKAT, AL-HIDAYAH, IIS, JAM’IYAH, ABIM, JIM, MACMA, HUNAFA’, DARUL FITRAH, RICOI, IMAN, DARUL SYIFA’, ISMA, WAMY dan GEPIMA yang ahli gabungan mencecah 500,000 orang, ingin merakam bantahan yang konsisten dan tegas terhadap penyalahgunaan media dalam menyiarkan aksi atau adegan lucah yang melibatkan sesiapa sahaja dan dalam apa jua bentuk seperti grafik, foto, cerita, berita dan iklan.

Terkini, ACCIN kesal dengan tindakan Utusan Malaysia pada hari Rabu, 2 Mei 2012, menyiarkan foto adegan lucah pada halaman 1 dan 3 yang melibatkan seorang mirip seorang tokoh politik Pakatan Rakyat. Walau pun apa jua alasan yang diberikan, penyiaran foto aksi lucah tersebut secara jelas melanggar etika kewartawanan sejagat dan juga memberi kesan negatif kepada pembaca khasnya golongan muda.

ACCIN meminta Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kepada semua pembaca akhbar Utusan atas keterlanjuran ini. Dalam pada itu ACCIN mengalu-alukan permohonan maaf TV3 secara terbuka kepada semua warga Malaysia kerana berasa bertanggungjawab atas siaran adegan bogel dalam rancangan “Kids Movie Magic (Into The Wild)” pada 24 Mac 2012. ACCIN berharap paparan gambar lucah tersebut menjadi yang terakhir di TV3, Utusan Malaysia dan media-media awam lain yang wajar mematuhi etika kewartawanan sejagat yang menghormati agama, adab, adat daan tata susila rakyat yang menjadi pembaca media-media tersebut.

ACCIN menyeru media-media nasional khasnya media yang dimiliki parti-parti politik, untuk tidak mempergunakan media bagi mendedahkan aib orang lain. Penyalahgunaan media dalam menyiarkan perlakuan aksi seksual tersebut, atas apa jua konsep, termasuk ”orientasi seksual” jelas salah dari segi agama dan moral. Kelakuan dan penyiaran gambar-gambar  lucah tersebut jelas tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, Islam sebagai agama negeri-negeri serta agama-agama lain yang turut mementingkan nilai kesopanan dan kesusilaan.

DATUK ZAINAL ABIDIN BIN AB. KADIR
Pengerusi ACCIN 2012

MENYOKONG BANTAHAN PERTUBUHAN KERJASAMA ISLAM (OIC), KUMPULAN NEGARA-NEGARA ARAB DAN KUMPULAN AFRIKA TERHADAP PERBINCANGAN PANEL ORIENTASI SEKSUAL DAN IDENTITI JANTINA (SOGI)

Kenyataan Media – 25 April 2012

1)      Kami, mewakili Allied Coordinating Committee of Islamic NGO’s (ACCIN) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) ingin menyatakan sokongan penuh terhadap bantahan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi pihak Malaysia dan Negara-Negara Anggotanya dalam kenyataaannya berhubung perbincangan panel mengenai “diskriminasi dan keganasan berdasarkan orientasi seksual dan identiti jantina (Sexual Orientation and Gender Identification, SOGI)” pada 7 Mac 2012 dalam Sesi Ke-19 Majlis Hak Asasi PBB, Geneva, Switzerland.

2)      Kami turut menyokong penuh tindakan OIC, Negara Arab dan Kumpulan Afrika yang bertindak keluar dari dewan sebagai bantahan keras kepada panel SOGI tersebut sedari awal perbincangan panel. Kami juga menghargai semua kenyataan NGO-NGO dan institusi-institusi agama dalam dan luar negara serta sejumlah negara anggota PBB, termasuk Vatican City yang turut menolak SOGI sebagai hak asasi.

3)      SOGI ditolak oleh warga dunia dan juga Malaysia kerana istilahnya bersifat kabur dan mengelirukan dan tiada definisi yang dipersetujui serta tiada asas perundangan dalam undang-undang antarabangsa, rantau dan negara. Tiada agama menerima istilah SOGI yang turut merangkumi makna seks sejenis (homoseks), seks tanpa perkahwinan (zina), seks dengan kanak-kanak (pedofil) dan seks dalam keluarga (sumbang mahram). Kegiatan seks di luar tabie akan menggugat institusi keluarga yang diterima sebagai kumpulan sosial yang asas dan semulajadi (fitrah).

4)      Kami juga mengutuk percubaan bersistematik oleh sesetengah negara dan kumpulan tertentu (khasnya LBGT) untuk memperkenalkan SOGI dalam sistem PBB dan kenegaraan Malaysia. Percubaan ini tidak selari dengan sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia yang menghendaki agama berperanan sebagai penyelamat, termasuk dalam isu hak asasi manusia.

5)      Kami mengharapkan perbincangan meja bulat terdahulu mengenai “diskriminasi dan keganasan berdasarkan orientasi seksual dan identiti jantina”, “kumpulan minoriti seksual” dan seumpamanya, menjadi yang terakhir di SUHAKAM. SUHAKAM juga wajar lebih berhati-hati dalam penerbitan Laporan Tahunan SUHAKAM agar tidak dilihat turut mengiktiraf atau menyokong SOGI sebagai hak asasi, sebagaimana turut dilaporkan di Asia Pasific Forum of National Human Rights Institutions (APF) dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

6)      Kami, ACCIN dan MAPIM, mencadang dan menawarkan kerjasama bagi mengadakan suatu majlis persefahaman yang melibatkan pelbagai pihak, tanpa mengira agama, bangsa, kecenderungan politik dan pertimbangan lain, bagi menzahirkan sokongan terhadap kenyataan OIC yang membantah panel SOGI tersebut. Tujuan Majlis ini adalah untuk tindakan positif pihak berkepentingan, termasuk dalam membimbing individu bermasalah SOGI dan sebagai barisan menghadapi lobi sosiopolitik Gerakan Homoseksual dari dalam dan luar negara.

 

DATUK ZAINAL ABIDIN BIN AB. KADIR
Pengerusi ACCIN

CIKGU AZMI BIN ABDUL HAMID
Setiausaha Agung MAPIM

 

AHLI GABUNGAN ACCIN DAN MAPIM

 

  1. ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia)
  2. Al-Hidayah (Persatuan Dakwah Islamiah & Kebajikan Saudara Baru India Se-Malaysia)
  3. Al-Hunafa (Persatuan al-Hunafa’)
  4. AMAL (Yayaan Amal Malaysia)
  5. ASB (Aqsa Syarif Berhad)
  6. Darul Fitrah (Persatuan Darul Fitrah)
  7. Darusshifa’ (Persatuan Kebajikan & Pengubatan Islam Malaysia)
  8. FORUM (Forum Umat Islam Pulau Pinang)
  9. GEPIMA (Pergerakan India Muslim Malaysia)
  10. IIS (Islamic Information and Services Foundation)
  11. IKRAM (Pertubuhan IKRAM Malaysia)
  12. IMAN (Interactive Muslimah Association)
  13. ISMA (Ikatan Muslimin Malaysia)
  14. ITMAM (Yayasan Itmam)
  15. JAMAIY (Jaringan NGO Islam Perak)
  16. JAM’IYAH (Persekutuan Seruan Islam Selangor & W.P)
  17. JAM’IYAH (Persekutuan Seruan Islam Perak)
  18. JIM (Jemaah Islam Malaysia)
  19. MACMA (Malaysian Chinese Muslin Association)
  20. MAMPAT (Pusat Aduan Mampat)
  21. MUAFAKAT (Pertubuhan Muafakat Rakyat Sejahtera)
  22. MUAFAKAT (Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia)
  23. PAKSI
  24. PBMIIT (Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah)
  25. PM (Pemuda Masjid) 
  26. PERKIM (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia)
  27. PGPO (Perdana Global Peace Organisation)
  28. PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia)
  29. PUM (Persatuan Ulama’ Malaysia)
  30. RICOI (Research and Information Centre on Islam)
  31. SALIMAH (Pergerakan Muslimah)
  32. SHURA (Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia)
  33. TERAS (Teras Pengupayaan Melayu)
  34. WADAH (Wadah Pencerdasan Umat Malaysia)
  35. WAMY (World Assembly of Muslim Youth)
  36. HALUAN (Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia)
  37. WEHDAH (Jaringan NGO Kedah)

 

ACCIN : ADEGAN BOGEL DI TV3 TIDAK MENGHORMATI SEMUA AGAMA.

Kenyataan Media – 7 April 2012

Allied Coordinating Committee of Islamic NGO’s (ACCIN) yang dianggotai oleh NGO Islam antaranya PERKIM, PUM, MUAFAKAT, AL-HIDAYAH, IIS, JAM’IYAH, ABIM, JIM, MACMA, HUNAFA’, DARUL FITRAH, RICOI, IMAN, DARUL SYIFA’, ISMA, WAMY dan GEPIMA membantah tindakan TV3 yang menyiarkan adegan bogel terlampau yang menampakkan kemaluan pelakon Emile Hirsch dalam rancangan “Kids Movie Magic (Into The Wild)”.

Filem “Into The Wild” selama 2 jam 20 minit ini telah ditayangkan oleh TV3 pada hari Sabtu, 24 Mac 2012, bermula pada 11.30 pagi sehingga 2.00 petang. ACCIN kesal dengan tayangan adegan bogel tersebut yang jelas tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, agama rasmi negeri-negeri serta agama-agama lain.

ACCIN kesal dengan kegagalan Lembaga Penapisan Filem (LPF) menapis adegan bogel ini dan pelbagai filem lain dari dalam dan luar Negara. Pegawai LPF sewajarnya sensitif terhadap kandungan filem untuk tontonan kanak-kanak. Kelemahan LPF akan memberi kesan negatif kepada usaha Kerajaan menangani gejala sosial yang merosakkan masyarakat seperti Gerakan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) yang turut ingin menghalalkan zina dan adegan seks terlampau di layar filem dan TV.

Hak orang Islam dalam “Cairo Declaration on Human Rights in Islam” (CDHRI) harus diberi perhatian sewajarnya semua pihak. CDHRI Perkara 17 (a) menyebut “Setiap orang berhak hidup dalam persekitaran bersih, jauh dari kelakuan buruk dan moral keji, persekitaran yang mendorong pembangunan dirinya dan menjadi tugas negara dan masyarakat pada umumnya untuk menyediakan hak itu”.

Akhirnya, menyedari adegan bogel ini adalah sebahagian daripada menifestasi keruntuhan moral Barat yang wajar disekat siarannya, ACCIN berharap Kerajaan, Lembaga Penapisan Filem, TV3 dan semua stesyen media penyiaran dapat mengambil pengajaran bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa hadapan.

DATUK ZAINAL ABIDIN BIN AB. KADIR
Pengerusi ACCIN

ACCIN: “MEMERANGI RELIGIOPHOBIA DAN ISLAMOPHOBIA”

KENYATAAN MEDIA – 27 JANUARI 2012
 

Allied Coordinating Committee of Islamic NGO’s (ACCIN) yang dianggotai oleh PERKIM, PUM, MUAFAKAT, AL-HIDAYAH, IIS, JAM’IYAH, ABIM, JIM, MACMA, HUNAFA’, DARUL FITRAH, RICOI, IMAN, DARUL SYIFA’, ISMA, WAMY dan GEPIMA mengucapkan salam sambutan “Gong Xi Fa Cai”, “Hari Wilayah”, “Maulidur Rasul” dan “Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama” kepada semua warga Malaysia.

ACCIN menyeru warga Malaysia untuk sekeras-kerasnya menolak semua bentuk Religiophobia, khasnya Islamophobia, termasuk insiden terkini yang menafikan hak berpakaian muslim dalam pertandingan renang berdasarkan peraturan Persatuan Renang Antarabangsa (FINA). ACCIN yakin banyak lagi peraturan antarabangsa yang menafikan hak Syariah untuk muslim di tanahair muslim sendiri perlu dinilai kembali untuk pendekatan yang lebih adil dan seimbang. Malaysians Against Islamophobia

ACCIN menyeru semua untuk menginsafi bahawa Islamophobia banyak berlaku sejak zaman permulaan Islam dan kemerdekaan negara lagi. Namun mutakhir ini, fenomena tersebut membimbangkan warga Malaysia yang prihatin kerana Islamophobia terus meningkat mengikut tren globalisasi dunia dan mengancam perhubungan antarabangsa, rantau dan nasional. Ucapan kontroversi Pope Benedict XVI yang menghina Nabi Muhammad S.A.W. dan kempen pengharaman Syariah, contohnya, perlu menjadi pengajaran penting buat semua.

ACCIN mengalukan perhatian badan kerajaan, badan bukan kerajaan dan warga prihatin terhadap laporan yang dikemukakan En. Doudou Diene, Pelapor Khas PBB (Pertubuhan Bangsa Bersatu) mengenai Bentuk Semasa Rasisme, Diskriminasi Rasis, Xenophobia dan Sikap Tidak Bertoleransi kepada Sesi Ke-6 Majlis Hak Asasi Manusia (UNHRC) di mana Islamophobia didefinisikan sebagai “suatu permusuhan dan ketakutan tidak berasas terhadap Islam dan akibat ketakutan atau kebencian terhadap orang Islam atau majoriti daripada mereka”.

ACCIN mendapati Islamophobia di Malaysia bukan fenomena baru dan ingin menarik perhatian seluruh warga Malaysia seterusnya kepada laporan dan kaji selidik Islamophobia oleh pelbagai badan berkredibiliti antarabangsa seperti PBB, OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam), USA Today/Gallup Poll, Human Rights First, Pew Research Center Report dan seumpamanya yang mengesahkan ia benar-benar berlaku di seluruh dunia dalam pelbagai menifestasi, termasuk media, intelektual, politik, perundangan, kartun dan struktur institusi.

Contohnya, sedari zaman awal kemerdekaan dan pembentukan negara, semua yang berbaur Syariah Islam dan identiti Islam mudah ditolak mentah-mentah, difitnah secara terbuka oleh media, parti politik, NGO dan individu tidak prihatin sebagai undang-undang kolot, bodoh, melanggar hak asasi manusia, mendiskriminasi non-muslim dan sebagainya. Kes pengharaman Syariah dalam pertandingan renang di pelbagai pusat akuatik, hotel dan kawasan peranginan negara menjadi sebahagian contoh produk Islamophobia yang pahit untuk ditelan oleh seluruh ummah Islam dan warga Malaysia.

ACCIN juga ingin menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan apabila bertindak menyokong “Deklarasi Dari Mesyuarat Penyelarasan Tahunan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Bagi Negara Anggota OIC Yang Menentang Islamophobia” di Ibu Pejabat PBB, New York pada 24 September 2010. ACCIN ingin memberi keyakinan bahawa sokongan tersebut dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan berorientasikan hasil.

ACCIN mendesak Malaysia agar menyegerakan penubuhkan khusus “Malaysia Islamophobia Observatory” untuk diselaraskan dengan “OIC Islamophobia Observatory” dan seterusnya “UN Islamophobia Observatory” yang bakal ditubuhkan. Ini memandangkan Malaysia bukan sahaja negara anggota OIC yang berfungsi sebagai “PBB Dunia Islam”, bahkan Malaysia juga negara anggota PBB yang turut menyokong kelulusan resolusi “Memerangi Fitnah Terhadap Agama” dan “Memerangi Islamophobia”.

Akhirnya, ACCIN mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin dan pembuat dasar sama ada muslim atau non-muslim di dalam dan di luar negara, termasuk PBB, OIC, kerajaan, parti politik, NGO dan individu yang turut bersama dalam membina persefahaman dan mengarusperdanakan kembali agama. ACCIN sentiasa memantau Islamophobia, menawarkan dialog dan kerjasama serta yakin seluruh warga Malaysia tanpa mengira agama, bangsa, budaya dan kecenderungan politik sedia menyokong pemimpin masyarakat untuk bersama “Memerangi Religiophobia dan Islamophobia”.

DATUK ZAINAL ABIDIN BIN AB. KADIR
Pengerusi ACCIN

 

ACCIN : Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN)

KENYATAAN MEDIA – 21 OKTOBER 2011

Gabungan Pertubuhan NGO Islam atau Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) melihat bahawa golongan bukan Islam tidak perlu sangsi dengan penganjuran HIMPUN. Ia bertolak daripada asas keharmonian kehidupan beragama yang ada di Malaysia dengan prinsip saling menghormati prinsip-prinsip agama.

ACCIN memperakui dokumen persetujuan antara agama peringkat antarabangsa, “A Common Word”, yang menegaskan bahawa dunia masa depan bergantung kepada perdamaian antara semua agama, khasnya Islam dan Kristian. Berasaskan ini ACCIN memperakui bahawa perdamaian ini perlu menghormati asas dan kesucian agama; dan bahawa pertikaian, konflik, provokasi dan keganasan antara agama perlu ditamatkan atas dasar “Mencintai Tuhan dan Mencintai Jiran”.

Atas semangat perdamaian di atas, ACCIN menyeru agar HIMPUN yang telah menggariskan objektif dan prinsip yang jelas tersebut dihormati oleh semua pihak, termasuk pimpinan agama, ahli politik dan masyarakat Malaysia agar ia tidak disalahfahami. Kesangsian dan campur tangan pihak-pihak tertentu terhadap program ini tentunya tidak membantu dalam memberi mesej sebenar mengapa HIMPUN diadakan.

ACCIN percaya bahawa HIMPUN membawa satu semangat agar semua ummah beragama bersatu mengarusperdanakan agama dalam kehidupan. Semangat ini menghendaki wujudnya hubungan harmoni antara semua penganut agama. Agar hubungan tersebut dapat dicapai, usaha memurtadkan ummah Islam khasnya perlu ditamatkan. Asasnya ialah dengan kembali menghormati perkara-perkara yang sudah tercatat dengan jelas dalam agama dan Perlembagaan Persekutuan. Kini, warga Malaysia lebih memerlukan “relation” dan “harmonization” agar tidak terus mengalami polarisasi kaum yang semakin parah dan tidak membantu mencapai integrasi nasional.

DR. MOHD ROSLAN MOHD NOR

Setiausaha ACCIN 2011

ACCIN : Gerakan Homoseksual Bercanggah Dengan Asas Ajaran Semua Agama

KENYATAAN MEDIA – 01 NOVEMBER 2011

Allied Coordinating Committee of Islamic NGO’s (ACCIN) menyokong PBB dan OIC bahawa “In a world hatred in mistrust only the world’s religions can help”. Asasnya sudah ada di sini  bahawa Malaysia sebuah negara mesra agama, bukan sekular. Walaupun diuji dengan pelbagai isu antara agama, ACCIN mengingatkan SUHAKAM, Bar Council, Empower, KRYSS, Tenaganita, Seksualiti Merdeka dan semua pihak yang terlibat dalam program “Roundtable Discussion on Gender Equality : Unaddressed Women’s Rights Issues” pada 31 Oktober 2011, program “Human Rights for LGBTIQ: Making It Real in Malaysia” pada 2 November 2011 dan inisiatif lain seumpamanya bahawa tuntutan utama Gerakan Homoseksual di Malaysia, seperti perkahwinan homoseksual oleh “Rev” Ouyang Wen Feng, sebagaimana termaktub dalam Prinsip-prinsip Yogyakarta bercanggah dengan asas ajaran Islam dan semua agama yang menyumbang melebihi 2/3 populasi dunia dan melebihi 90% populasi Malaysia.

ACCIN terpanggil untuk menjelaskan kepada warga Malaysia bahawa semua agama banyak berbeza dalam kepercayaan, tetapi berkongsi banyak nilai moral seperti berdosanya atau salahnya judi, arak dan zina di luar perkahwinan sama ada melibatkan hubungan heteroseksual (lelaki dan perempuan), homoseksual (gay, lesbian dan biseksual), transgender dan sebagainya. Hubungan homoseksual jelas melawan fitrah menurut majoriti agama. Ia dinyatakan oleh pelbagai institusi agama seperti al-Azhar, Vatican City, Akal Takht dan pemimpin agama seperti Sheikh Ali Jumua, Archbishop Calestino Migliore dan Yang Mulia Dalai Lama. Penolakannya sebagai hak asasi dinyatakan oleh teks autoriti semua agama. Bagi yang tidak beragama, nilai moral perlu menjadi rujukan dalam pertimbangan nilai baik dan buruk. Nilai moral sama sekali menolak perlakuan salah ini. Konsep-konsep sekular yang pelbagai juga tidak dapat menjustifikasikan zina sukarela (heteroseksual dan homoseksual) antara orang dewasa sebagai hak asasi manusia secara konsensus.

ACCIN ingin mengajak parti politik dan masyarakat pelbagai agama untuk bersuara menyelar tuduhan tidak berasas transphobia, homophobia dan heterosexsualism ke atas semua agama dan tindakan mengeksploitasi agama untuk menghalalkan zina oleh gerakan ini. Ianya membuktikan tren diskriminasi ke atas agama berdasarkan faktor religiophobia, khasnya Islamophobia memang berlaku, semakin meningkat dan membimbangkan. ACCIN sedia bekerjasama dan meminta negara dan SUHAKAM agar mengambil tindakan kerana fitnah terhadap agama (defamation of religions) telah dianggap sebagai melanggar hak asasi manusia di PBB, OIC dan pelbagai mekanisme hak asasi manusia antarabangsa.

ACCIN juga berharap agar ahli politik dan masyarakat tidak terpengaruh dengan lobi sosiopolitik gerakan ini dan lebih spesifik apabila membicarakan tentang transgender. Kerana, istilah transgender boleh merangkumi golongan transvestit, intekseks, lesbian, gay, biseksual dan sebagainya. Transgender yang benar-benar mengalami masalah kekeliruan orientasi seksual dan identiti jantina yang diperakui agama dan pakar perubatan wajar dan telah pun diiktiraf di seluruh dunia. Transgender adakalanya disamakan dengan transsexual. Transexxualism sendiri dikategorikan sebagai penyakit mental oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Transgender seperti mak nyah yang tiada masalah orientasi seksual dan identiti jantina sebenarnya perlu dibantu melalui usaha pemulihan, bukan melalui pengiktirafan sebagai hak asasi manusia.

ACCIN juga menyeru masyarakat Malaysia agar tidak menyokong mana-mana pemimpin masyarakat yang tidak menghormati asas dan kesucian agama, khasnya Islam yang juga agama Persekutuan, tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan parti politik, termasuk yang menyokong Gerakan Homoseksual dan tuntutan utamanya.

 

DR. MOHD ROSLAN BIN MOHD NOR

Setiausaha

 

ACCIN: Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia Kali Pertama

Rujukan kami / Ref: KMAIN1/1432
Tarikh / Date:  26 September 2011

Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Merangkap Urusetia Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia Kali Pertama

YBhg. Tuan

 Assalamualaikum w.b.t

CADANGAN ACCIN KEPADA KONGRES MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI-NEGERI SELURUH MALAYSIA KALI PERTAMA

Alhamdulillah, Selawat dan Salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarganya.

Bagi pihak Gabungan NGO-NGO Islam (ACCIN), izinkan saya mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan tahniah kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Senator Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom di atas penganjuran Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia 2011 buat kali yang Pertama.

Ia merupakan titik sejarah yang baru bagi melihat kerjasama yang lebih utuh dalam kalangan Majlis Agama Islam Negeri-negeri dalam melaksanakan agenda pemartabatan Islam di tanahair.

ACCIN percaya bahawa Kongres ini tepat pada masanya dan ia merupakan persidangan yang amat penting untuk merencana masa depan Islam dan umatnya.

ACCIN juga merakamkan penghargaan dan terima kasih di atas kesudian pihak penganjur menjemput pertubuhan-pertubuhan NGO Islam bagi berinteraksi dan terlibat sama dalam memberikan pandangan-pandangan yang boleh dijadikan panduan dan agenda bertindak dalam bentuk resolusi yang akan dirangka.

Untuk itu, bagi pihak ACCIN, kami ingin memberi cadangan kepada perkara-perkara berikut supaya diambil perhatian dalam merangka resolusi Kongres. Ia disimpulkan dalam 10 perkara sepertimana di bawah:

CADANGAN UNTUK PERTIMBANGAN RESOLUSI KONVENSYEN MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI-NEGERI 2011

1. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri wajar menegaskan komitmen terhadap prinsip-prinsip terkandung dalam Perlembagaan dan Syariah sebagai panduan umum dan Piagam Majlis untuk menghadapi era globalisasi kini.

 2. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri wajar menegaskan kembali komitmen tingginya, bersesuaian dengan “Cairo Declaration of Human Rights in Islam”, untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia dari perspektif Islam.

 3. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri wajar menekankan kepentingan untuk menilai kembali semua aspek pentadbiran Syariah dan memastikan pendekatan yang adil dan seimbang terhadapnya.

 4. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri wajar menyatakan keprihatinan, bersesuaian dengan “World Interfaith Harmony Week”, terhadap persamaan, perbezaan dan kehidupan harmoni antara agama dan kepercayaan tanpa mengabaikan asas dan kesucian Islam serta Ahlu Sunnah Wal Jamaah.

 5. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri wajar melebarkan kerjasama (interaksi dan perkongsian pintar) untuk menghadapi cabaran ummat manusia, khasnya ummat Islam tanpa mengira ras, warna kulit, bahasa, jantina, agama/mazhab, sekutu politik, status sosial atau pertimbangan lain.

 6. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri wajar mengenal pasti sumbangan kepada NGO-NGO Islam, merangkumi kos bangunan, sekretariat, pengajian, kenderaan, program dan lain-lain, termasuk daripada sumber zakat.

 7. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri wajar meningkatkan kerjasama dakwah dan hubungan dengan bukan muslim dan bukan Melayu, termasuk dalam menangani Islamophobia dan religiophobia yang semakin meningkat.

 8. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri perlu memberikan perlindungan kepada muallaf dan meningkatkan usaha serta proaktif untuk dakwah non-Muslim di seluruh Malaysia, merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

 9. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri perlu mengurangkan birokrasi dalam pemberian bantuan zakat kepada para asnaf bagi mengelakkan golongan ini dieksploitasi oleh golongan lain.

10. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri diminta sentiasa membantu meningkatkan sosio-ekonomi ummah dan memperkasa aspek pendidikan agama kepada anak bangsa.

Semoga cadangan-cadangan ini mendapat perhatian yang sewajarnya.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

 

DR. MOHD ROSLAN MOHD NOR
Setiausaha ACCIN 2011

ACCIN : Isu JAIS dan DUMC

KENYATAAN MEDIA – 09 OGOS 2011

Gabungan pertubuhan-pertubuhan NGO Islam dalam gabungan Allied Coordinating Committee of Islamic NGO’s (ACCIN) memperakui kenyataan Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia bahawa “…Dunia kita hari ini penuh dengan ketegangan agama, ketidakpercayaan, kesedihan dan kebencian. Ketegangan agama ini boleh dengan mudah meletuskan keganasan masyarakat. Ianya menyebabkan orang lain dimomokkan yang kemudiannya mempengaruhi pandangan masyarakat untuk menyokong perang melawan penganut agama lain…. Penyelesaian terhadap masalah ini hanya boleh datang daripada agama itu sendiri. Agama perlu menjadi sebahagaian daripada penyelesaian, bukan sebahagian daripada masalah”.

ACCIN meminta media lebih bertanggungjawab dalam melaporkan isu-isu antara agama, khasnya isu JAIS dan DUMC agar masyarakat dapat menghadapi isu ini dengan tenang. Istilah “storm”, “raid” dan “barge” tidak wajar digunakan media bagi menggambarkan pemeriksaan JAIS yang dijalankan selepas hampir sejam berunding dengan penganjur atas aduan berlakunya usaha pemurtadan oleh pihak gereja.

ACCIN meminta semua pihak menghormati sensitiviti umat beragama. Rumah ibadah merupakan institusi kedua terbesar di dunia yang perlu mempromosikan hubungan positif antara agama selepas institusi pendidikan. Agar ianya berjaya, ACCIN meminta usaha memurtadkan penganut Islam khasnya, di Kuala Lumpur, Selangor dan seluruh negara dihentikan segera. Ini bersesuaian dengan semangat hubungan antara agama dan peruntukan Perlembagaan di mana Islam adalah agama Persekutuan. Agama lain boleh diamalkan dengan menghormati agama Persekutuan tersebut dan sensitiviti umatnya.

Sejak penubuhan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKAPA) di bawah Kabinet, ACCIN dan ahli-ahli lain tidak mengeluarkan sebarang kenyataan media mengenai urusan antara agama sebagai menghormati konsensus jawatankuasa tersebut. ACCIN ingin mengingatkan Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) kembali menghormati jawatankuasa tersebut pada masa akan datang.

Sebaiknya isu-isu sebegini dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKAPA) di mana dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Tan Sri Koh Tsu Koon dan Dato’ Seri Jamil Khir Baharom sebagai menteri yang bertanggungjawab.

Justeru, ACCIN turut meminta pihak kerajaan segera mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan pertikaian tersebut. Hasil siasatan juga perlu dikemukakan segera agar tidak berlaku salah faham dalam masyarakat.

DATO’ SHEIKH ABDUL HALIM BIN ABD KADIR
Pengerusi ACCIN 2011

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.