ACCIN : Isu JAIS dan DUMC

KENYATAAN MEDIA – 09 OGOS 2011

Gabungan pertubuhan-pertubuhan NGO Islam dalam gabungan Allied Coordinating Committee of Islamic NGO’s (ACCIN) memperakui kenyataan Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia bahawa “…Dunia kita hari ini penuh dengan ketegangan agama, ketidakpercayaan, kesedihan dan kebencian. Ketegangan agama ini boleh dengan mudah meletuskan keganasan masyarakat. Ianya menyebabkan orang lain dimomokkan yang kemudiannya mempengaruhi pandangan masyarakat untuk menyokong perang melawan penganut agama lain…. Penyelesaian terhadap masalah ini hanya boleh datang daripada agama itu sendiri. Agama perlu menjadi sebahagaian daripada penyelesaian, bukan sebahagian daripada masalah”.

ACCIN meminta media lebih bertanggungjawab dalam melaporkan isu-isu antara agama, khasnya isu JAIS dan DUMC agar masyarakat dapat menghadapi isu ini dengan tenang. Istilah “storm”, “raid” dan “barge” tidak wajar digunakan media bagi menggambarkan pemeriksaan JAIS yang dijalankan selepas hampir sejam berunding dengan penganjur atas aduan berlakunya usaha pemurtadan oleh pihak gereja.

ACCIN meminta semua pihak menghormati sensitiviti umat beragama. Rumah ibadah merupakan institusi kedua terbesar di dunia yang perlu mempromosikan hubungan positif antara agama selepas institusi pendidikan. Agar ianya berjaya, ACCIN meminta usaha memurtadkan penganut Islam khasnya, di Kuala Lumpur, Selangor dan seluruh negara dihentikan segera. Ini bersesuaian dengan semangat hubungan antara agama dan peruntukan Perlembagaan di mana Islam adalah agama Persekutuan. Agama lain boleh diamalkan dengan menghormati agama Persekutuan tersebut dan sensitiviti umatnya.

Sejak penubuhan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKAPA) di bawah Kabinet, ACCIN dan ahli-ahli lain tidak mengeluarkan sebarang kenyataan media mengenai urusan antara agama sebagai menghormati konsensus jawatankuasa tersebut. ACCIN ingin mengingatkan Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) kembali menghormati jawatankuasa tersebut pada masa akan datang.

Sebaiknya isu-isu sebegini dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKAPA) di mana dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Tan Sri Koh Tsu Koon dan Dato’ Seri Jamil Khir Baharom sebagai menteri yang bertanggungjawab.

Justeru, ACCIN turut meminta pihak kerajaan segera mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan pertikaian tersebut. Hasil siasatan juga perlu dikemukakan segera agar tidak berlaku salah faham dalam masyarakat.

DATO’ SHEIKH ABDUL HALIM BIN ABD KADIR
Pengerusi ACCIN 2011