ACCIN : ADEGAN BOGEL DI TV3 TIDAK MENGHORMATI SEMUA AGAMA.

Kenyataan Media – 7 April 2012

Allied Coordinating Committee of Islamic NGO’s (ACCIN) yang dianggotai oleh NGO Islam antaranya PERKIM, PUM, MUAFAKAT, AL-HIDAYAH, IIS, JAM’IYAH, ABIM, JIM, MACMA, HUNAFA’, DARUL FITRAH, RICOI, IMAN, DARUL SYIFA’, ISMA, WAMY dan GEPIMA membantah tindakan TV3 yang menyiarkan adegan bogel terlampau yang menampakkan kemaluan pelakon Emile Hirsch dalam rancangan “Kids Movie Magic (Into The Wild)”.

Filem “Into The Wild” selama 2 jam 20 minit ini telah ditayangkan oleh TV3 pada hari Sabtu, 24 Mac 2012, bermula pada 11.30 pagi sehingga 2.00 petang. ACCIN kesal dengan tayangan adegan bogel tersebut yang jelas tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, agama rasmi negeri-negeri serta agama-agama lain.

ACCIN kesal dengan kegagalan Lembaga Penapisan Filem (LPF) menapis adegan bogel ini dan pelbagai filem lain dari dalam dan luar Negara. Pegawai LPF sewajarnya sensitif terhadap kandungan filem untuk tontonan kanak-kanak. Kelemahan LPF akan memberi kesan negatif kepada usaha Kerajaan menangani gejala sosial yang merosakkan masyarakat seperti Gerakan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) yang turut ingin menghalalkan zina dan adegan seks terlampau di layar filem dan TV.

Hak orang Islam dalam “Cairo Declaration on Human Rights in Islam” (CDHRI) harus diberi perhatian sewajarnya semua pihak. CDHRI Perkara 17 (a) menyebut “Setiap orang berhak hidup dalam persekitaran bersih, jauh dari kelakuan buruk dan moral keji, persekitaran yang mendorong pembangunan dirinya dan menjadi tugas negara dan masyarakat pada umumnya untuk menyediakan hak itu”.

Akhirnya, menyedari adegan bogel ini adalah sebahagian daripada menifestasi keruntuhan moral Barat yang wajar disekat siarannya, ACCIN berharap Kerajaan, Lembaga Penapisan Filem, TV3 dan semua stesyen media penyiaran dapat mengambil pengajaran bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa hadapan.

DATUK ZAINAL ABIDIN BIN AB. KADIR
Pengerusi ACCIN