Laporan Tinjauan OIC Keempat Mengenai Islamophobia (Mei 2010 – April 2011)

Laporan Tinjauan OIC Keempat Mengenai Islamophobia (Mei 2010 – April 2011)

 Ringkasan Eksekutif

 

Laporan Tinjauan OIC Keempat Mengenai Islamophobia meliputi tempoh dari Mei 2010 sehingga April 2011. Berdasarkan corak laporan terdahulu, tren terkini Islamophobia dikatalogkan dan diperiksa. Dari segi analisis keseluruhan, Badan Tinjauan OIC telah mendapati wacana Islamophobia semakin meningkat sama ada di khalayak awam atau ruangan politik. Berdasarkan pemantauan harian Badan Tinjauan sepanjang tempoh laporan, beberapa individu dan kumpulan di Barat, termasuk gerakan dan parti politik sayap kanan, mengambil kesempatan atas kejahilan masyarakat berhubung nilai sebenar Islam dan membina imej negatif Islam, yang diputarbelitkan oleh media sejak peristiwa tragis 11 September, dalam menyemarakkan lagi Islamophobia.

Peningkatan Islamophobia, sama ada berpunca daripada situasi sosial atau didorong oleh pemuka masyarakat dan polisi-polisi yang diinstitusikan, telah terbukti berlaku di Eropah dan semakin meningkat di Amerika Syarikat. Tren ini ditunjukkan dalam pelbagai bentuk, termasuk serangan secara langsung dan penodaan rumah ibadah orang Islam, tanah perkuburan dan pelbagai pusat kegiatan Islam; persepsi awam yang semakin berkembang bahawa muslim menjadi ancaman terhadap budaya dan kedudukan “masyarakat Barat”, dan simbol-simbol Islam, khasnya tudung wajar dihadkan atau diharamkan sama sekali. Kekerapan insiden seumpama ini dilihat oleh pelbagai kaji selidik dan, dalam kes Eropah, diketuai oleh Setiausaha Agung PBB, Baan Ki-Moon dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton, untuk menyuarakan tentangan terhadap sikap tidak bertoleransi dan situasi yang membimbangkan mengenai kebebasan beragama di rantau tersebut.

Bab kedua laporan tersebut merujuk kepada pelbagai menifestasi Islamophobia di Barat. Berhubung Amerika Syarikat, Badan Tinjauan OIC memerhatikan beberapa insiden, yang paling mengejutkan dan keterlaluan ialah peristiwa membakar Al-Quran sepanjang 9 bulan dari September 2010 hingga April 2011. Mengenai kontroversi Masjid Ground Zero, barisan pembangkang yang diketuai oleh parti dan politikus sayap kanan menimbulkan perdebatan palsu dengan mempersoalkan asas perundangan pembinaan sebuah pusat Islam berhampiran dengan Ground Zero. Perdebatan tersebut jelas menimbulkan prejudis terhadap imej umat Islam dengan meniupkan logika “bersalah secara persatuan” yang mencadangkan bahawa seseorang muslim, dan dengan kaitan Islam, bertanggungjawab terhadap Ground Zero dan, kerana itu, mereka perlu “dibuang” daripada kawasan tersebut.

Antara insiden lain yang direkodkan di Amerika Selain ialah agenda Tea Party Movement, yang secara terbuka menyokong kebencian terhadap muslim, cadangan “Pengharaman Syariah” yang berjaya dalam kalangan negeri-negeri Oklahoma, dan pendengaran umum berhubung “radikalisasi Komuniti Muslim Amerika” yang dimulakan oleh Peter King, Pengerusi Jawatankuasa Dewan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat. Pendengaran tersebut membawa kepada perdebatan berasaskan prejudis dan kecenderungan bahawa muslim berpotensi menjadi pengganas, yang dalam pandangannya, menolak untuk bekerjasama dalam usaha negara “memerangi keganasan”. Perdebatan ini, walau apa pun hasilnya, boleh membawa kepada ketakutan dan ketidakpercayaan terhadap komuniti muslim.

Mengenai Islamophobia di Eropah, pelbagai kajian dan soal selidik daripada institusi berwibawa telah mendedahkan mitos bahawa Islam mempromosikan sikap tidak bertoleransi dan pendatang Islam merupakan ancaman kepada identiti kebangsaan Eropah serta menjadi beban ekonomi dan sosial. Mitos ini diburukkan lagi di banyak negara di mana ahli politik terkemuka menimbulkan perdebatan tidak sihat tentang Islam, dengan membuat telahan, yang boleh mengesahkan andaian peribadi masing-masing, berhubung kegagalan multiculturalisme, seperti ketidakmampuan Eropah untuk hidup dan menerima muslim secara harmoni. Beberapa individu lain yang turut mencambahkan perdebatan menentang muslim termasuk editor Denmark, Fleming Rose yang menerbitkan buku “Tyranny of Silence” dan Thilo Sarrazin, ahli politik Jerman dan bekas ahli Lembaga Eksekutif Deutsche Bundesbank, yang menulis buku seterusnya bertajuk “Germany Abolishes Itself”. Kedua-duanya berpandangan Islam menjadi ancaman sebenar kepada negara. Geert Wilders pula telah mengumumkan hasratnya untuk menyajikan satu lagi filem pendek mengenai Nabi Muhammad. Kedua-dua tren wacana berprofail tinggi ini jelas melawan semangat kepelbagaian budaya dan hak kebebasan manusia, di mana pandangan radikal terhadap Islam dibenarkan dan mendatangkan sikap tidak bertoleransi terhadap muslim. Ia diterima secara sosial dan dijustifikasikan secara moral dan intelektual.

Tinjauan juga turut memperhatkan bahawa Media Barat berperanan sebagai kunci utama dalam membakar budaya anti-muslim. Sebagai contohnya, kajian-kajian telah menjelaskan kekerapan mereka menekankan perkataan seperti: “keganasan”. “pengganas”, “pelampau”, “fanatik”, “radikal” dan “fundamentalis” yang dikaitkan dengan Islam dan ummah Islam secara umum. Sentimen anti Islam begitu jelas kerana pihak media suka mengulang maklumat palsu hingga berlabuh di minda orang ramai, secara sedar atau tidak sedar, bahawa Islam menjadi ancaman yang perlu ditangani dan dihapuskan oleh semua. Kajian dan aduan yang diterima badan berwibawa juga tanpa ragu lagi dan secara statistik membuktikan bahawa muslim telah didiskriminasi dalam pekerjaan dan layanan buruk dalam persekitaran kerja.

Dalam bab ketiga, laporan telah menggariskan perkembangan positif bagi membenteras Islamophobia. Antaranya, Resolusi oleh Majlis Eropah mengenai “Islam, Islamisme dan Islamophobia di Eropah” yang mengecam pengharaman penuh niqab di Perancis, menggesa agar kebebasan bersuara dibezakan dari ucapan kebencian, dan meminta pihak Switzerland membatalkan pengharaman terhadap penubuhan menara masjid. Sejumlah pemimpin di Jerman menyuarakan isu penghijrahan muslim secara positif, dan di United Kingdom, Kumpulan Semua Ahli Parlimen mengenai Islamophobia telah dilancarkan di Dewan Rakyat. Pihak Berkuasa British juga tidak membenarkan Pastor Terry Jones memasuki negara Britain, dengan kenyataan bahawa Britain menentang ekstrimisme. Agensi Persekutuan Amerika Syarikat juga menolak trademark sebuah organisasi berbunyi “Stop Islamization of America” atas dasar bahawa ia menjatuhkan maruah komuniti muslim. Manakala, Majlis Bandaraya Los Angeles telah menyebut bahawa mereka hanya memihak kepada mana-mana perundangan yang bertujuan untuk memerangi Islamophobia dan tindakan keganasan terhadap umat Islam perlu diberi perhatian.

Dalam bab keempat berkaitan rangka kerja Hak Asasi Manusia, laporan membentangkan kronologi aspek operasi penglibatan OIC mengenai Islamophobia, sepanjang tempoh laporan, mengikut undang-undang antarabangsa dan meletakkan satu asas untuk mencari konsensus di samping menjalinkan hubungan diplomasi pelbagai hala mengikut keutamaan. Dalam hal ini, dan berdasarkan mandat yang berkaitan, OIC telah mengadakan mesyuarat pakar di Istanbul bagi mengenal pasti asas perundangan bagi konsep “fitnah terhadap agama” dan menilai keperluan dan cara  mengembangkan kerangka perundangan semasa yang sesuai.

Berikutan mesyuarat Istanbul, Setiausaha Agung OIC, Prof Ekmeleddin Ihsanoglu, dalam kenyataannya pada sesi ke-15 Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva, telah menggariskan lapan cadangan untuk tindakan yang akan diambil, di peringkat negara dan antarabangsa, bertujuan memerangi sikap tidak bertoleransi terhadap agama. Setiausaha Agong juga menyeru penubuhan Badan Tinjauan dalam sistem PBB untuk memantau perlakuan tidak bertoleransi terhadap agama di seluruh dunia. Berdasarkan lapan pendekatan yang digariskan oleh Setiausaha Agong, OIC atas semangat berkompromi dan keputusan berdasarkan konsensus – menaja resolusi baru ke atas “memerangi sikap tidak bertoleransi, “stereotype” negatif, stigmatisasi dan diskriminasi, dombaan kepada keganasan dan keganasan terhadap individu berdasarkan agama dan kepercayaan mereka” yang telah diluluskan secara konsensus pada sesi ke-16 Majlis Hak Asasi Manusia, di Geneva. Resolusi tersebut, di samping membina platform konsensus baru, diwujudkan secara berasingan dan disediakan untuk pendekatan yang pelbagai dalam menyeru ke arah tindakan yang perlu diambil dari sudut pentadbiran, politik dan perundangan di peringkat negara dan antarabangsa.

Dalam bab kelima, laporan menerangkan pelbagai langkah dan tindakan yang diambil oleh OIC, dalam penyelarasan dan kerjasama dengan pihak-pihak berkaitan yang berkepentingan untuk memerangi Islamophobia. Tindakan tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran, menjalinkan usaha diplomatik untuk menarik perhatian masyarakat antarabangsa dan menunjukkan kes-kes kritikal dalam sikap tidak bertoleransi terhadap agama, di samping bertindak balas terhadap perlakuan dan penerbitan berunsur Islamophobia. Antara peristiwa-peristiwa yang ditaja atau diambil  bahagian oleh OIC ialah:

  1. Perbincangan Meja Bulat mengenai Islamophobia, yang diadakan semasa 3rd Alliance of Civilizations Global Forum, di Rio de Janeiro.
  2. Program mengenai pendekatan normatif terhadap Islamophobia yang dianjurkan oleh pihak daripada Persidangan Peringkat Tinggi OSCE mengenai Toleransi dan Diskriminasi.
  3.  Syarahan oleh Ketua Setiausaha OIC bertajuk “Membina Jambatan-Dialog Antara Budaya, Identiti dan Penghijrahan” sebagai sebahagian daripada Siri Syarahan Geneva, dianjurkan oleh Institut Latihan dan Penyelidikan PBB (UNITAR).
  4. Pelbagai acara lain di peringkat serantau dan antarabangsa.

 Laporan ini berakhir dengan satu set syor yang menggariskan strategi memerangi Islamophobia dan peningkatan sikap tidak bertoleransi serta prejudis terhadap umat Islam melalui tindakan bersepadu antarabangsa, yang melayakkan pemerhatian khusus diberi terhadapnya.

Untuk mendapatkan laporan penuh bagi ringkasan eksekutif ini, sila dilayari lelaman Pertubuhan Kerjasama Islam (Organization of Islamic Cooperation atau OIC), di: www.oic-oci.org/uploads/file/Islamphobia/2011/en/islamphobia_rep_May_2010_to_April_2011_en.pdf

 

 Disediakan oleh;

Urus Setia Gabungan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN)

https://accinmalaysia.wordpress.com

 

Laporan Tinjauan OIC Ketiga Mengenai Islamophobia (Mei 2009 – April 2010)

Laporan Tinjauan OIC Ketiga Mengenai Islamophobia (Mei 2009 – April 2010)

Ringkasan Eksekutif

Laporan Tinjauan OIC Kali Ke-3 dibuat meliputi tempoh Mei 2009 hingga April 2010. Sepanjang tempoh ini, Islamophobia yang dilihat sebagai suatu ancaman getir yang mengancam keamanan dan keselamatan serantau dan global terus menjadi punca kebimbangan di Barat, Eropah dan Utara Amerika. Hak asasi muslim dilanggari dan kebebasan beragama mereka dihalang. Situasi ini memerlukan perhatian serius memandangkan men”stereotype”kan muslim atau Islam sebagai “pengganas, kejam, tidak sesuai”; liputan berat sebelah media; wacana politik anti-Islam- terutama parti politik kanan di Eropah-; dan serangan, penganiayaan, penghinaan dan keganasan yang ditujukan terhadap masjid, muslim, harta benda dan perkuburan mereka terus berlaku. Situasi ini lebih menjengelkan dengan penerbitan kartun tanpa henti yang menghina Nabi Muhammad s.a.w. Hasil referendum di Switzerland pada 22 November 2009, yang membawa kepada pindaan Perlembagaan Switzerland yang mengharamkan pembinaan menara masjid menjadi menifestasi jelas Islamophobia yang dilindungi Perlembagaan terhadap kempen menentang Islam.

 Justeru, Laporan Tinjauan OIC kali ke-3 ini mengandungi beberapa bahagian penting seperti berikut:

 

1)     Islamophobia di Eropah dan Amerika

Kajian telah dibuat termasuk oleh EFRA mendedahkan bahawa jenayah, gangguan dan diskriminasi perkauman terhadap ummah Islam di Eropah bertambah teruk, seperti pengharaman pihak Swiss terhadap pembinaan menara masjid sebagaimana ia turut mencetuskan perdebatan berkaitan identiti Perancis. Beberapa kumpulan sayap kanan dan masyarakat di Britain, Sepanyol, Switzerland, Greece dan Itali telah melancarkan bantahan, petisyen mahkamah serta tindakan undang-undang bagi menghalang pembinaan masjid. Kempen anti Islam oleh Geert Wilders turut dicontohi oleh ahli politik pelampau sayap kanan di Eropah untuk kepentingan politik mereka. Peningkatan pelbagai insiden Islamophobia jelas berlaku seperti berikut:

  • Insiden berkaitan masjid meningkat sebanyak 100%
  • Penodaan terhadap perkuburan Islam sebanyak 75%
  • Insiden berkaitan purdah dan burqah sebanyak 500%
  • Kempen politik dan sosial terhadap Islam dan Ummah Islam sebanyak 5 kali
  • Sikap tidak bertoleransi terhadap simbol-simbol suci Islam lebih dari 100%
  • Diskriminasi terhadap ummah Islam dalam bidang pendidikan, tempat kerja, lapangan terbang dan sebagainya sebanyak 100%

Sementara di Amerika, ummah Islam menghadapi lebih banyak diskriminasi. Islamophobia di Amerika pada dasarnya dicirikan kepada dua tren, iaitu memburukkan profail ummah Islam ekoran 11 September dan mengambil kesempatan daripada para pengarang di Amerika untuk melonjakkan lagi Islamophobia di Eropah. Pada Oktober 2009, Laporan Kebebasan Beragama Antarabangsa, Jabatan Negara AS agak kritikal untuk menerima resolusi memerangi fitnah agama, begitu juga untuk menerima OIC yang menekankan perlunya resolusi anti fitnah tersebut di badan PBB.

 

2)     Islamophobia Diakui oleh Beberapa Sarjana Barat

Serangan Islamophobia bukan sahaja diakui sesetengah sarjana Barat, bahkan sesetengah putar belit dan salah faham mengenai Islam dan ummah Islam juga turut dinyatakan. Contohnya, John Esposito telah menulis tentang Islam dan ummah Islam dengan membangkitkan isu seperti “militant Islam”, tudung dan demokrasi. Manakala, Karen Armstrong mendapati dalam ajaran nabi Muhammad mengandungi teologi keamanan dan toleransi. Deepa Kumar berhujah bahawa kartun Denmark berkaitan Nabi Muhammad hanyalah serangan perkauman semata-mata. Liz Fekete mewujudkan semula hubungan antara perkauman dan kawalan imigresen serta berhujah bahawa ummah Islam ‘Eropah’ ditonjolkan di media sebagai warga yang tidak boleh dipercayai.

 

3)     Manifestasi Islamophobia

Adalah malang sekali apabila Islamophobia berlaku dan diterima secara meluas di Barat. Ia dijelmakan dalam pelbagai bentuk dan terus meningkat dalam pelbagai bidang masyarakat Barat. Berikut adalah manifestasi utama Islamophobia sepanjang laporan ini dibuat:

a)     Menifestasi Media Terhadap Islamophobia. Peranan media  dalam membentuk pendapat umum dan dasar awam tidak mengambil peranan positif dalam menyatakan isu-isu berkaitan Islamophobia. Contohnya dalam kes pembunuhan Marwa al-Sherbini di Dresden, Jerman pada 1 Julai 2009, media Jerman memaklumkan kepada rakyat Jerman bahawa defendan telah membunuh saksi dalam mahkamah daerah dan alasannya ialah pergaduhan di taman permainan kanak-kanak. Hakikatnya, media tersebut tidak menyatakan bahawa saksi tersebut ialah seorang wanita Islam dan pertengkaran itu sebenarnya berakhir dengan defendan menjerit kepada wanita Islam itu perkataan ‘Islam b***’ dan ‘pengganas’. Media mengaitkan Islam dengan kejadian serangan terhadap Fort Hood, di Amerika, dan kes-kes plot keganasan bangsa Somalia dan Nigeria.

b)     Menifestasi Intelektual Terhadap Islamophobia. Menurut pelapor khas PBB, En. Doudou Diene, tren politik dan ideologi semasa kuat dipengaruhi oleh legitimasi intelektual dan saintifik terhadap elemen perkauman, xenophobia dan sikap tidak bertoleransi. Tren ini jelas kelihatan dalam sejumlah buku yang diterbitkan oleh beberapa penulis dengan tujuan untuk memanfaatkan peluang dalam meningkatkan Islamophobia dan mengubah imej Islam dan ummah Islam. Contohnya, Andrew Bostom dalam bukunya The Legacy of Jihad  menerangkan bahawa Jihad Islam bersifat pemusnah.

c)      Manifestasi Politik dan Perundangan Terhadap Islamophobia. Pengharaman ke atas pembinaan menara-menara masjid di Switzerland menjelaskan bahawa Islamophobia telah pun wujud dalam bentuk institusi dan perundangan.  Ia melanggar hak asasi ummah Islam di Switzerland, bahkan dikecam oleh pelbagai kerajaan, NGO, badan hak asasi, termasuk Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia PBB dan Amnesty International. Terdapat banyak insiden Islamophobia dalam bidang politik yang ditunjukkan khasnya dalam kempen ahli politik kanan, termasuk Geert Wilders dll.

d)     Islamophobia Dalam Kartun. Buktinya, dua percubaan membunuh didakwa berlaku kepada kartunis Denmark dan Sweden pada Januari dan Mac 2010 telah mendorong beberapa akhbar Nordic untuk mencetak semula kartun sebagai memihak kepada kebebasan bersuara. Sementara itu, pada Februari 2010, akhbar Norway, Dagbladet telah menerbitkan sebuah karikatur Nabi Muhammad dengan mengaitkan kartun kontroversi di halaman Facebooknya.

Dari sudut perkembangan positif, pada 26 Februari 2010, akbar Denmark “Politiken” dan Pengarah bagi 8 pertubuhan daripada Negara Anggota OIC, iaitu seramai 94,923 ahli, daripada keturunan Nabi Muhammad S.A.W., yang diwakili oleh peguam mereka mencapai penyelesaian terhadap pertikaian yang timbul daripada cetakan semula kartun Nabi Muhamad S.A.W. dalam Politiken. Penyelesaiannya Politiken wajib mengeluarkan pernyataan maaf kerana mencetak kartun tersebut.

e)     Manifestasi Struktur Terhadap Islamophobia. Ummah Islam terus menghadapi masalah dalam mendapat keperluan asas seperti pekerjaan, tempat tinggal, penjagaan kesihatan dan pendidikan akibat daripada stereotype tersebut. Banyak insiden menunjukkan situasi ini semakin meningkat. Antaranya, pertimbangan BBC terhadap perlantikan seorang Muslim sebagai ketua agama dan etika sebagai suatu ‘penghinaan’ bagi orang Kristian; menganggap wanita muslim yang bekerja sebagai pencuci di Italy sebagai satu ‘ancaman keselamatan’ dan keengganan doktor Jerman untuk merawat seorang remaja yang bernama Jihad iaitu perkataan Arab  yang bermaksud perjuangan suci atau perang; dan pengusiran pelajar muslim daripada persekolahan di Kanada hanya kerana tidak mahu menanggalkan tudung.

 

4)     Beberapa Perkembangan Positif

Hasil daripada beberapa tindakan yang telah diambil oleh OIC, maka Laporan Tinjauan kali ini mendapati terdapat beberapa perkembangan positif dapat dilihat antaranya:

a)     Pada 10 Julai 2009, Ireland telah meluluskan satu Rang Undang-undang  di mana sesiapa yang mengkritik mana-mana agama dikenakan hukuman denda sehingga  25,000 Euro.

b)     Senat Czech telah mengharamkan kemunculan ahli politik Belanda iaitu Geert Wilders yang ingin memaparkan filem Fitna tersebut di Senat pada November 2009.

c)      Mahkamah di Denmark telah mengenakan bayaran kepada seorang lelaki yang menggantung poster anti Islam.

d)     Hukuman dijatuhkan kepada seseorang oleh pihak mahkamah di Belanda kerana menghina ummah Islam.

e)     Mahkamah di Perancis mengharamkan risalah-risalah yang bertujuan untuk menyerang rancangan membina masjid.

f)      Ucapan Kaherah oleh Presiden Obama telah menjanjikan ‘Permulaan Baru’ kepada dunia Islam dan beliau telah mengeluarkan arahan untuk berhenti menggunakan konsep menghina Islam seperti “War on Terror”.

g)     Resolusi telah bersetuju untuk  mengisytiharkan 24 September 2009 sebagai Hari Islam di Hawaii.

h)     Jawatankuasa Pendidikan Majlis New York menyeru untuk menambah cuti muslim iaitu Aidilfitri dan Aidiladha dalam kalendar sekolah.

 

5)     Tindakan yang Diambil oleh OIC

Beberapa tindakan telah diambil oleh OIC bagi membanteras budaya Islamophobia dalam kalangan masyarakat antaranya:

a)     Sekretariat OIC telah berkaitan dalam pelbagai aktiviti untuk meningkatkan kesedaran tentang implikasi buruk Islamophobia kepada keamanan global.

b)     Setiausaha Agung OIC telah menyuarakan kebimbangan terhadap isu-isu berkaitan kepada pemimpin-pemimpin dan pegawai Barat termasuk mengadakan mesyuarat dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Menteri Luar Perancis dan Jerman, Presiden Parlimen Eropah dan Persidangan UNESCO ke-35.

c)      Badan Tinjauan Islamophobia OIC terus memantau perbuatan pihak pelampau Islamophobia dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan, hubungan diplomatik serta mengadakan mesyuarat dua hala.

d)     Setiausaha Agung OIC telah menghantar surat kepada rakan sejawatnya di Liga Amerika Arab dan Majlis Kerjasama Teluk bagi mendapatkan sokongan mereka untuk mencapai satu pendirian bersama mengenai isu Islamophobia.

e)     Sekretariat Agung OIC mengadakan mesyuarat bersama Wakil Tetap OIC di Jeddah yang menekankan ciri-ciri larangan tersebut dan mendesak kerajaan Swiss untuk menukar keputusan tersebut.

f)      Resolusi yang ditaja oleh OIC berkaitan ‘Fitnah Terhadap Agama’ berjaya diluluskan di Majlis Hak Asasi Manusia dan Perhimpunan Agung PBB.

g)     Wakil-wakil OIC menghadiri acara-acara penting yang berkaitan dengan Islamophobia termasuk mesyuarat ‘Penyesuaian Sejarah’ di Universiti Cambridge, Sesi ‘Toleransi dan Tiada Diskriminasi’ dan ‘Kebebasan Bersuara’ pada Mesyuarat Perlaksanaan Dimensi Manusia 2009 (HDIM) dan lain-lain.

h)     OIC turut menghadiri acara berkaitan Dialog dan Pemahaman termasuk Lawatan Ketua Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mesyuarat Dialog di Korea dan Persidangan Dialog Peradaban yang dianjurkan bersama oleh Kerajaan Azerbaijan dan OIC di Baku.

 

6)     Visi dan Cadangan OIC

Di hadapan undang-undang tertentu dan perjanjian-perjanjian antarabangsa untuk melindungi hak asasi manusia, Islamophobia terus berlaku. Infrastuktur undang-undang antarabangsa yang sedia ada telah gagal menangani isu semasa ini. Justeru, kepentingan membendung Islamophobia dan fitnah terhadap agama dengan berkesan amat diperlukan.

Untuk membendung Islamophobia dan bahayanya, terdapat beberapa keperluan : (i) meningkatkan kesedaran global terhadap prinsip asas kesederhanaan dan pemodenan dalam Islam; (ii) menyedarkan masyarakat antarabangsa mengenai implikasi bahaya fenomena Islamophobia; (iii) mengeluarkan jawapan dan bantahan terhadap insiden Islamophobia; (iv) mengutuk perbuatan pihak pelampau Islamophobia dengan menyeru kerajaan dan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sesuai.

 

Badan Tinjauan OIC telah menyediakan syor-syor berikut untuk menangani Islamophobia di Barat:

a)     Rangka kerja normatif yang sedia ada untuk memerangi sikap tidak toleran serta diskriminasi dilaksanakan dengan tujuan untuk membangunkan strategi bagi mengelakkan eksploitasi politik terhadap isu Islamophobia.

b)     Perang ke atas keganasan tidak boleh menjadi perang ke atas ummah Islam.

c)      Ummah Islam perlu menikmati kesejahteraan, penerimaan budaya dan kebebasan beragama tanpa ditakut-takutkan secara politik atau sosial.

d)     Kerajaan Barat, pembuat dasar dan institusi-institusi masyarakat madani mesti bersuara dengan pantas dan jelas untuk menghadapi sebarang manifestasi perkauman terhadap ummah Islam.

e)     Negara-negara Barat mesti membuat pencegahan undang-undang, untuk menerbitkan atau mengucapkan perkataan yang melampau atau menghina perkara yang dianggap suci oleh mana-mana agama dan pengikutnya. Diskriminasi atas dasar bangsa, etnik dan agama juga harus dilarang oleh undang-undang.

f)      Jenayah kebencian harus ditakrifkan lebih luas dan defisit maklumat perlu ditangani.

g)     Generasi muda harus disediakan dengan program-program pendidikan yang dapat membangkitkan semangat toleransi, persefahaman dan rasa hormat kepada ‘yang lain’.

h)     Pihak kerajaan patut membantu atau menggalakkan penubuhan badan kawal-selia media untuk menangani manifestasi diskriminasi dan perkauman. Media harus menjalankan fungsinya dengan cara yang bertanggungjawab.

i)       Dasar-dasar integrasi juga mesti dilaksanakan.

 

Untuk mendapatkan laporan penuh bagi ringkasan eksekutif ini, sila dilayari lelaman Pertubuhan Kerjasama Islam (Organization of Islamic Cooperation atau OIC), di: www.oic-oci.org/uploads/file/Islamphobia/2010/en/Islamophobia_rep_May_22_5_2010.pdf.pdf

 

 Disediakan oleh;

Urus Setia Gabungan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN)

https://accinmalaysia.wordpress.com

Laporan Tinjauan OIC Kedua Mengenai Islamophobia (Jun 2008 – April 2009)

Laporan Tinjauan OIC Kedua Mengenai Islamophobia (Jun 2008 – April 2009)

Ringkasan Eksekutif

Islamophobia bertentangan dengan nilai-nilai asas manusia dan prinsip-prinsip hak asasi yang melindungi manusia daripada diskriminasi dan sikap tidak bertoleransi. Tindakan perkauman, diskriminasi dan sikap tidak bertoleransi mencabar amalan hak asasi manusia dan kebebasan ummah Islam terus meningkat di Barat. Ini menyumbang kepada salah faham terhadap Islam dalam masyarakat bukan Islam dan menyebabkan meningkatnya layanan berbeza, profil negatif dan stereotaip terhadap ummah Islam yang tinggal atau melawat negara Barat. Keadaan ini diburukkan lagi oleh penerbitan, produksi video dan kenyataan anti-Islam oleh individu dan kumpulan yang berkepentingan. Ini mewujudkan kecurigaan dan syak wasangka antara Dunia Islam dan Dunia Barat yang memerlukan pendirian segera dan bersama terhadap segala bentuk dan menifestasi diskriminasi dan sikap tidak bertoleransi.

Laporan ini lebih fokus untuk menggariskan penglibatan penting antara Dunia Islam dan Dunia Barat yang bertujuan untuk memerangi fenomena ini. Ia menarik perhatian terhadap beberapa perkara, antaranya:

1-     Islamophobia dalam segala bentuk dan manifestasinya mempunyai potensi yang boleh mendatangkan bahaya kepada keamanan dan keselamatan global dan sewajarnya perlu ditangani dengan segera dan secara kolektif oleh masyarakat antarabangsa. Pelbagai insiden menjelaskan bahawa fenomena Islamophobia juga menular di seluruh dunia, termasuk Eropah, Amerika dan negara-negara Barat.

2-     Didorong faktor sejarah, budaya dan psikologi, bentuk terkini Islamophobia memberi kesan dalam kerja-kerja penyelidikan, laporan, rencana, tulisan institusi dan ahli akademik terkenal. Pelbagai fitnah dan tindakan negatif melalui ucapan, artikel, buku, dokumentari dan pertemuan telah mengesahkan menularnya kempen yang sistematik, bermotivasi dan berterusan bagi menentang Islam dan penganutnya. Ia juga turut menyenaraikan beberapa keadaan yang membimbangkan dan semakin aktif di kebanyakan tempat di dunia Barat  termasuklah kebencian, diskriminasi dan sikap tidak bertoleransi terhadap Islam dan umat Islam.

3-     Badan Tinjauan berjaya menghasilkan beberapa perkembangan positif. Islamophobia sebagai isu besar yang mencabar keharmonian ummah manusia membahayakan proses dialog dan persefahaman antara tamadun dan budaya. Ini dibuktikan oleh pelbagai keputusan diambil oleh sebilangan kerajaan dan masyarakat Barat bagi menjauhkan diri daripada pengiat Islamophobia yang terkenal dan aktiviti mereka. Antaranya;

  • Keputusan Mahkamah Amsterdam untuk menjalankan prosiding jenayah terhadap ahli politik sayap kanan, Geert Wilders, produser anti-Islam yang menerbitkan filem Fitna.
  • Pengundian di Swiss Lower House yang menentang resolusi yang menuntut pengharaman membina menara masjid di Switzerland.
  • Nada positif Presiden Amerika Syarikat, Barak Obama sewaktu kempen pilihanraya.
  • Bual bicara oleh Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat AS ke arah menjalinkan hubungan dengan umat Islam di seluruh dunia
  • Syor-syor membina yang memberi latar belakang untuk pendekatan konstruktif.

4-     Antara faktor Islamophobia ialah gambaran negatif dan salah terhadap Islam di sekolah dan institusi pendidikan, antaranya; i) Dengan mengabaikan pengetahuan yang betul tentang Islam, ii) Menyerlahkan gambaran negatif tentang Islam dan Muslim, iii) Melakukan penghinaan dan penderaan lisan atau fizikal di sekolah, iv) Menafikan keperluan menangani isu Islamophobia.

5-     Laporan juga meringkaskan prosiding dilakukan oleh pihak OIC di Majlis Hak Asasi Manusia dan Perhimpunan Agung PBB yang membentuk ikatan kukuh antara Dunia Islam dan Dunia Barat. Dengan berpegang kepada prinsip undang-undang antarabangsa, OIC bersedia mencari penyelesaian berdasarkan kerangka yang sedia ada. Usaha OIC untuk mencapai persetujuan mengenai isu fitnah terhadap agama (defamation of religions) di PBB mendapat banyak sokongan.

6-     Isu fitnah terhadap agama bukan sahaja digunakan untuk mencipta beberapa persepsi media dan pemikiran Barat, bahkan dikelirukan dengan kerangka yang sedia ada mengenai kebebasan berekspresi. Kejayaan resolusi UNGA dan UNHRC mengenai fitnah terhadap agama menjadikannya satu konsep yang berdiri dengan legitimasi antarabangsa. Ia tidak wajar digambarkan sebagai mengambil hak kebebasan berekspresi.

7-     Kedudukan OIC dalam isu fitnah terhadap agama ialah berdasarkan banyak peruntukan dalam instrument antarabangsa, termasuk Piagam PBB dan resolusi-resolusi berkaitan. Fitnah terhadap agama, sebagai menifestasi Islamophobia, tidak terhad kepada agama sahaja, kerana suatu idea yang abstrak juga boleh menjadi target dikritik dan  dipermainkan. Kesan sebenar terhadap fitnah ini ialah kempen kebencian dan stereotype negatif secara terang-terangan yang mensasarkan semua prinsip asas dan penganut Islam secara individu atau berkumpulan. Ia menggambarkan mereka sebagai bahaya, tidak bertamadun dan pengganas. Alat yang digunakan untuk mencapai matlamat ini disembunyikan di bawah panji-panji kebebasan bersuara. Dalam kehidupan sebenar, sasaran kempen fitnah ini ialah setiap identiti, maruah, harga dan keyakinan diri seorang muslim. Mangsa serangan ini menjadi paria, orang buangan dan sasaran ejekan, bahkan menjadi subjek penderaan fizikal dan psikologi.

8-     Kedudukan OIC dalam isu penting ini diasaskan pada peruntukan undang-undang antarabangsa, dan terutamanya dalam pelbagai instrument undang-undang antarabangsa. Sebagai contoh, Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, dalam Artikel 7 menyatakan: “Semua orang berhak mendapat perlindungan yang sama daripada sebarang diskriminasi dan daripada sebarang hasutan terhadap diskriminasi sedemikian”. Artikel 12: “Tiada siapapun boleh menjadi subjek diserang maruah, reputasi dsb.”

9-     Hampir semua undang-undang, instrumen dan perjanjian antarabangsa dengan jelas menyebut bahawa kebebasan berekspresi perlu diamalkan dengan tanggungjawab, antaranya:

The International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) menyebut dalam Artikel 19:    “…Pengamalan hak-hak ini [termasuk hak berekspresi] membawa bersamanya tugas dan tanggungjawab khas. Ia boleh tertakluk kepada sekatan tertentu.

Artikel 20: Sebarang advokasi terhadap kebencian antara negara, bangsa atau agama yang merupakan hasutan kepada diskriminasi, permusuhan atau keganasan dilarang oleh undang-undang”.

Artikel 10 The European Convention on Human Rights menyebut: “Pengamalan kebebasan ini, memandangkan ia membawa bersamanya tugas dan tanggungjawab, tertakluk kepada formaliti, syarat, sekatan atau penalti.”

Sebagai tambahan, Perhimpunan Agung PBB telah meluluskan sebilangan resolusi yang mengecam tindakan fitnah terhadap agama sejak tahun 1999. Resolusi UNGA  (A/Res/53/140) Tahun 1999 menetapkan dalam perenggan No. 4:

“Di samping itu menggesa negara-negara, selaras dengan piawai antarabangsa dan hak asasi manusia, untuk mengambil semua langkah-langkah sewajarnya untuk memerangi kebencian, sikap tidak bertoleransi dan tindakan keganasan yang didorong oleh sikap tidak bertoleransi agama.”

10-  Sekretariat Agung OIC juga terlibat dalam pelbagai aktiviti, termasuk kerjasama dengan organisasi antarabangsa seperti UN, EU, OSCE, AoC dll, begitu juga pelbagai institusi, universiti dan badan pemikir. Setiausaha Agung telah menghadiri dan membincangkan Islamophobia dalam banyak peristiwa, seperti the International Conference on the Muslim world and the West, di Kuala Lumpur, Malaysia, Muslim and Western Countries’ Forum di Astana, Kazakhstan, Interfaith Dialogue di PBB di New York, US; Rabat Follow-up on Fostering Dialogue among Cultures and Civilizations di Copenhagen, Denmark; dan OIC Inter-Institutional Forum on Universal Shared Values di Geneva, selain lawatan beliau ke beberapa Negara Eropah. OIC menjadi penaja bersama beberapa persidangan di atas. Pemeteraian Memorandum Persefahaman antara OIC dan AoC ialah antara langkah ke hadapan ke arah yang betul.

11-  OIC menginginkan dialog yang jujur dan berorientasikan hasil berdasarkan persefahaman dan penghormatan bersama antara Dunia Barat dan Dunia Islam di semua peringkat, termasuk di akar umbi. Dalam usaha membendung musuh nombor satu Islamophobia dan menggalakkan keamanan dan toleransi dalam kalangan penganut pelbagai agama dan budaya, dialog ini perlu melalui kehendak politik yang kuat yang bertujuan untuk membangunkan strategik yang akan menekankan perlaksanaan undang-undang nasional dan antarabangsa yang sedia ada serta mengenal pasti nilai-nilai  dan prinsip-prinsip. Cadangan perdamaian bersejarah antara Islam dan Kristian oleh Setiausaha Agung OIC  menyediakan visi yang berdaya maju untuk dialog yang jujur dan berorientasikan hasil.

Kesimpulannya, OIC telah menjalankan suatu usaha yang jujur dan serius dalam menggariskan tren meningkatnya Islamophobia yang dimenifestasikan dalam bentuk diskriminasi dan sikap tidak bertoleransi terhadap muslim, khasnya di Barat. Laporan ini telah menyediakan kompilasi terperinci berhubung insiden diskriminasi dan kebencian terhadap ummah Islam serta penghinaan dan fitnah terhadap Islam dan simbol-simbol sucinya. Laporan juga memasukkan rujukan kepada penemuan dan kenyataan yang berpunca daripada elit politik dan sumber lain berpengkalan di Barat. Laporan seterusnya menekankan kepentingan hubungan antara ummah Islam dan Dunia Barat melalui dialog antara agama dan dialog antara tamadun yang membuat syor dan cadangan yang boleh memudahkan dan membentuk sebahagian daripada hubungan tersebut. Laporan turut menyatakan keyakinan bahawa kesedaran semakin beransur-ansur wujud dalam diri masyarakat antarabangsa terhadap diskriminasi dan kebencian atas alasan agama. Usaha berterusan perlu dilakukan bagi menghasilkan pandangan yang positif serta hasil yang kondusif terhadap agama Islam dan umat Islam demi keamanan dan keselamatan global.

Untuk mendapatkan laporan penuh bagi ringkasan eksekutif ini, sila dilayari lelaman Pertubuhan Kerjasama Islam (Organization of Islamic Cooperation atau OIC), di:

www.oic-oci.org/uploads/file/Islamphobia/Islamophobia_rep_May_23_25_2009.pdf

 

Disediakan oleh;

Urus Setia Gabungan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN)

https://accinmalaysia.wordpress.com

Laporan Tinjauan OIC Pertama Mengenai Islamophobia (Mei 2007 – Mac 2008)

Laporan Tinjauan OIC Pertama Mengenai Islamophobia (Mei 2007 – Mac 2008)

Ringkasan Eksekutif

Satu daripada isu utama dihadapi dunia perhubungan antarabangsa kini ialah Islamophobia. Ia telah bermula sejak zaman permulaan Islam lagi. Namun sejak akhir-akhir ini fenomena ini telah melahirkan kebimbangan kepada dunia Islam. Menfitnah, sikap tidak bertoleransi dan pandangan negatif terhadap Islam dan umat Islam semakin berleluasa ekoran pihak Barat menganggap umat Islam menyokong kepada keganasan dan bersikap melampau. Peristiwa yang amat menyedihkan lebih-lebih lagi berlaku apabila simbol Islam iaitu Nabi Muhammad SAW dicemari dan dihina hingga menyinggung perasaan umat Islam yang akhirnya turut menimbulkan kekacauan dalam masyarakat.

Ekoran daripada inilah, semua pemerintah negara dan kerajaan semasa Sidang Kemuncak ke-3 di Mekah pada Disember 2005 meluluskan Program Tindakan 10 Tahun OIC, antara lain meluluskan penubuhan Badan Tinjauan di Sekretariat Agung OIC untuk menangani Islamophobia dengan memantau semua bentuk Islamophobia dan mengadakan dialog tersusun bagi menyatakan nilai-nilai Islam yang sebenar. Laporan Tinjauan OIC Pertama telah disediakan meliputi tempoh Mei 2007 hingga Mac 2008.

Laporan Tinjauan OIC Pertama ini dibentangkan dalam empat bahagian utama: (i) Definisi, latar belakang sejarah dan punca, (ii) Manifestasi terkini Islamophobia termasuk insiden Islamophobia dan kenyataan politik yang menghina Islam oleh beberapa ahli politik Barat serta perkembangan positif yang diperhatikan, (iii) Aktiviti & usaha Badan Tinjauan dan Sekretariat Serantau serta Antarabangsa untuk menangani isu Islamophobia, (iv) Kesimpulan dan cadangan.

 Metodologi dalam menyusun laporan ini termasuk pemadanan laporan dan kajian oleh pertubuhan-pertubuhan penyelidikan yang berwibawa dan para pemikir, hasil persidangan antarabangsa, dokumen dan resolusi PBB, memantau laporan yang boleh diperolehi mengenai insiden Islamophobia.

 Laporan ini juga turut memfokuskan kepada beberapa perkara, antaranya:

  1. Keperihatinan OIC terhadap tindakan keras yang dilakukan terhadap umat Islam yang tinggal dalam komuniti  Barat dan gejala menfitnah Islam di seluruh dunia.
  2. Kesimpulan berdasarkan kenyataan kumpulan-kumpulan Islam dan anti perkauman, bahan-bahan yang diterbitkan oleh pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa dan badan-badan pemantauan, hasil penyelidikan, laporan media dan sebagainya.
  3. Aspek undang-undang berkaitan Islamophobia yang menyatakan bahawa fenomena Islamophobia sebenarnya bertentangan dengan kehendak instrumen antarabangsa  yang memastikan perlindungan daripada menfitnah agama, penghapusan diskriminasi serta sikap tidak bertoleransi terhadap umat Islam.
  4. Hak kebebasan bersuara boleh dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan ia tidak boleh menjadi lesen untuk menyakiti, menghina, memprovokasi, mengapi-apikan kebencian antara agama dengan menfitnah, mengecam dan menghina simbol suci agama Islam serta menyebabkan kekacauan dan keganasan dalam masyarakat.

Dalam menyusun laporan ini, Badan Tinjauan turut mengambil kira kerumitan isu Islamophobia dan cara bagaimana ia dilihat oleh protagonist. Turut diambil kira dalam mendefinisi Islamophobia ialah Pelapor Khas PBB yang menjelaskan Islamophobia ialah “suatu permusuhan dan ketakutan tidak berasas terhadap Islam dan akibat ketakutan atau kebencian terhadap orang Islam atau majoriti daripada mereka”. Badan Tinjauan juga menggunakan laporan dan daripada kaji selidik, kajian dan laporan insitusi antarabangsa yang terkenal, antaranya: August 2006 USA Today/Gallup poll; the Washington based Human Rights First, 2007 Report on Islamophobia; the Pew Research Center Report bertarikh 25 September 2007, the The European Monitoring Centre on Racism and Xenophobia (EUMC) dan The European Commission against Racism and Intolerance (ECRI)‘s latest 2007 “Third Report on the Netherlands” bertarikh 12 February 2008. Laporan ini dengan jelas menyebut peningkatan dramatik Islamophobia di Belanda dan umat Islam di Belanda menjadi subjek stereotaip, stigma dan adakalanya secara terang digambarkan dalam wacana politik perkauman dan media secara tidak seimbang.

Laporan juga mendapati fenomena Islamophobia akan berterusan menjadi perhatian masyarakat antarabangsa pada masa hadapan. Adalah dipercayai kemarahan dan bantahan dunia Islam lebih mendalam khasnya melalui penerbitan kartun yang menfitnah Nabi Muhammad SAW dan ucapan tidak bertanggungjawab Pope Benedict di Universiti di Jerman. Manakala, media mempunyai peranan penting dalam menyentuh isu Islamophobia untuk mengupayakan budaya toleransi dan persefahaman bersama dan bahawa kebebasan berekspresi seharusnya dikaitkan dengan tanggungjawab tertentu.

Laporan ini menyimpulkan bahawa kini terdapat kesedaran dalam masyarakat antarabangsa termasuk kerajaan, NGO dan masyarakat madani di mana mereka mula mengambil perhatian yang serius terhadap kebimbangan umat Islam menghadapi bahaya menfitnah Islam serta kesediaan mereka untuk melibatkan diri dalam dialog-dialog antara agama. Justeru, laporan berpendapat bahawa semua Negara Anggota OIC boleh meneruskan usaha mereka untuk memerangi Islamophobia dari pelbagai peringkat. Untuk akhirnya, satu set cadangan bagi mengukuhkan usaha Badan Tinjauan OIC bagi memerangi Islamophobia telah disediakan  dalam satu laporan untuk dipertimbangkan dalam Sidang Kemuncak.

Maklumat lanjut: www.oic-oci.org/uploads/file/Islamphobia/islamphobia_rep_may_07_08.pdf

 

Disediakan oleh;

Urus Setia Gabungan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN)

https://accinmalaysia.wordpress.com

Titah DiRaja DYMM Raja Nazrin di Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia 2011

Berikut adalah teks Titah DiRaja DYMM Raja Nazrin di Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia 2011:

TARIKH: 26 SEPTEMBER 2011 (ISNIN); MASA: 11.30 PAGI

TEMPAT: DEWAN MERDEKA

PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR.

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala puji tertentu bagi ALLAH Subhanahu Wata’ala yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan bagi Nya (pula) segala puji di akhirat, dan Dialah saja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuan Nya.[1]  Hamba-Mu ini, dengan hati yang bening – ingatan yang hening, melafazkan seikhlas tutur dari denyut nadi – menzahirkan setulus kalam dari pancaran hati, kalimah kesyukuran yang setinggi-tingginya atas anugerah rahmat dari Mu jua Ya ALLAH, mengangkatkan martabat Hamba-Mu ini untuk menyempurnakan satu tanggung jawab fardu kifayah di pagi ini. Dengan segala kerendahan sifat – kelemahan kudrat, hamba-Mu mohon mendapat petunjuk dan panduan dari Mu jua.

2.         Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, semulia-mulia kejadian.  Demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan.  Semoga memperoleh ihsan daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala sehingga ke hari kebangkitan.

“ WALLAHI,  WABILLAHI, WATALLAHI

Maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnyapemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana Undang-undang danPerlembagaan Negeri yang telah disah dan dimasyhurkan dan yang akan disah dan dimasyhurkan di masa hadapan ini.  Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.”

3.         Demikian lafaz ikrar sumpah jawatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong selaku Ketua Utama Negara.  Status Ketua Utama Negara bukan sekadar simbol hiasan.  Status Ketua Agama Negara menuntut kepada penyempurnaan tanggung jawab besar memenuhi amanah.  Terkandung limakata kunci dalam sumpah jawatan tersebut; ia itu: Undang-undang,Perlembagaan NegeriAgama IslamAdil dan Aman.

4.         Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia yang berlangsung pada 26 dan 27 September ini, dianjurkan, menyusuli ketetapan yang telah diperkenankan dalam Persidangan Majlis Raja-Raja.  Menjunjung titah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Patik merafak sembah junjungan kasih setinggi-tingginya atas limpah perkenan Duli-Duli Tuanku, memberikan pengiktirafan ke atas batang tubuh Patik, menyempurnakan hasrat Duli-Duli Tuanku, untuk Patik menzahirkan Titah Diraja atas tema “MAJLIS AGAMA ISLAM PEMACU TRANSFORMASI UMMAH”.

5.         Setiap yang tersurat dizahirkan dari yang tersirat.  Ketetapan Majlis Raja-Raja memperkenankan kelangsungan Kongres ini, perlu direnung secara tajam, diamati secara halus dan diselami secara mendalam; betapa keprihatinan yang tersirat dalam ruang minda Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja Melayu tentang senario semasa negara; senario semasa negara yang harus dirangkaikan dengan lima kata kunci yang terkandung dalam sumpah jawatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong; senario semasa negara berkaitan Islam, survival ummah dan perpaduan ummah, soal keluhuran Perlembagaan, soal kedaulatan undang-undang, soal keadilan, soal keamanan; serta lebih utama keprihatinan Duli-Duli Yang Maha Mulia itu, sebagai pewaris kepadaTujuh Wasiat yang telah diperkenankan kepada rakyat-rakyat Melayu yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu oleh sembilan Raja Melayu pada tarikh 5 Ogos 1957, lalu memberikan perkenan menurunkan tanda tangan persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.  

6.         Perlembagaan Persekutuan secara nyata menetapkan kewajipan penting Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, selaku Ketua Utama Negara untuk memelihara kesucian agama Islam pada setiap masa.  Tanggung jawab penting tersebut didukung bersama oleh sembilan Raja Melayu di Negeri-negeri.  Tanggung jawab penting tersebut telah sekian lama diamanahkan kepada Raja-Raja Melayu dan Raja-Raja Melayu telah menyempurnakan amanah tersebut dengan memastikan kesucian Islam tidak ternoda, syiar Islam terus dikembangkan dan umat Islam dilindungi dari penyerapan fahaman lain hingga boleh dimurtadkan.  Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Negeri menggubal undang-undang untuk mempertahankan agama Islam dan penganutnya dari dipengaruhi unsur-unsur agama lain.

7.         Islam mula berakar di negeri-negeri Tanah Melayu sejak kurun keempat belas.  Islam terpahat kukuh di persada sejarah negara.  Islam telah tersebar di negeri-negeri Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu lebih awal dari Melaka[3].  Dengan pengislaman Raja Melaka dalam tahun 1409[4], Islam bertapak lebih kuat di alam Melayu[5], dijadikan agama rasmi Melaka semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446-1458)[6]    Kesultanan Melaka dianggap sebagai salah sebuah Kerajaan Islam yang ulung di Asia Tenggara, berperanan sebagai pusat penyebaran Islam di Nusantara[7].

8.         Risalah Islam memberikan impak besar kepada jiwa dan minda masyarakat Melayu. Islam mengisi kandungan rohani, begitu serasi – begitu sebati dengan jiwa dan budaya Melayu.  Ajaran Islam diterima pakai sebagai asas yang mutlak dalam kehidupan umat Melayu di Malaysia.  Islam mengubah anutan agama umat Melayu kepada satu agama wahyu yang ditanzilkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala[8].  Proses pengislaman di alam Melayu berlangsung dalam masa yang singkat dan merupakan tenaga terkuat yang mencorakkan kepercayaan, nilai dan sikap masyarakat[9].  Ajaran Islam cepat menyerap di kalangan umat Melayu kerana Islam merupakan satu keratan lapisan yang diletakkan atas sistem kepercayaan yang sedia wujud, memperlihatkan kebijaksanaan umat Melayu melakukan asimilasi, menyesuaikan sistem kepercayaan lama dengan yang baru[10].

9.         Islam memberi dimensi baru kepada minda Melayu.  Ia telah mencetuskan satu revolusi pemikiran di kalangan umat, berupaya menyemai nilai dan semangat keagamaan yang luhur[11].  Islam telah merobah bukan sahaja struktur zahir masyarakat Melayu malah turut menyentuh struktur batinnya[12].  Berpalinglah pandangan hidup umat Melayu, gugur dari singgahsana alam seni dan mitos yang khayal, berpindah ke alam akal dan budi yang menuntut kepada gaya tertib yang lebih teratur, berjaya membina daya rasionalisme dan intelektualisme di kalangan umat, mengangkat adab dan susila  serta kesedaran terhadap kemuliaan insan dan keagungan Tuhan[13].

10.        Beberapa pengubahsuaian lantas berlaku dalam sistem pemerintahan dengan pengenalan identiti baru.  Raja dan Kerajaan diberi taraf baru, menghapuskan konsepsi lama yang menganggap Raja sebagai ‘penjelmaan tuhan di bumi’, status yang meletakkan Raja sama taraf dengan tuhan, beralih kepada konsepsi bahawa Raja adalah ‘bayangan ALLAH di muka bumi (zillulah fi al-Ard)”[14].  Hubungan batiniah Raja dengan para dewata ditinggalkan, di sebaliknya talian spiritual dirangkaikan dengan Allah dan Rasul serta kekudusan tokoh para aulia dan anbia[15].    Berdasarkan konsepsi baru ini, Raja hanya bertaraf wakil atau khalifah di bumi dengan sifat-sifat kemanusiaan.  Kuasa Raja disandarkan dengan hukum kerana Raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak. Kemuliaan Raja dinilai dari sudut amal makruf Baginda menyempurnakan tanggung jawab, lantas menginsafkan Raja bahawa kuasa pemerintahan adalah satu amanah ILAHI yang sama sekali tidak boleh disalahgunakan.  Raja wajib menjunjung amanah pemerintahan dengan melaksanakan keadilan untuk kesejahteraan rakyat mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala[16].  

11.        Islam dan Melayu adalah tunggak utama Tanah Melayu.  Undang-undang Islam diguna pakai untuk mentadbir negeri-negeri di Tanah Melayu.  Negeri Melaka telah mengkanunkan Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka berdasarkan Hukum Syarak[17].  Di negeri Perak, Undang-Undang 99 juga digubal berdasarkan prinsip Hukum Syarak; Terengganu, Kelantan dan Kedah menyerap pengaruh Islam dalam pentadbiran masing-masing[18].

12.        Selepas kejatuhan Melaka, kerajaan-kerajaan Melayu di Tanah Melayu meneruskan tradisi pemerintahan beraja yang kekal berpandukan undang-undang Islam sehingga munculnya penglibatan Inggeris dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu.  Inggeris telah memisahkan urusan pentadbiran negeri dengan agama Islam.  Proses peralihan kepada sistem pentadbiran perundangan Inggeris telah dilakukan dari negeri ke negeri.  Hal ehwal Islam ditadbirkan secara berasingan dengan penubuhan institusi-institusi khusus untuk urusan Agama Islam dan adat istiadat Melayu.

13.        Di negeri Perak, pentadbiran Islam dipertanggungjawabkan kepada beberapa Orang Besar Negeri yang dilantik oleh Sultan[19].  Salah seorang Orang Besar Delapan, Imam Paduka Tuan dilantik memegang jawatan Kadi[20].  Di pertengahan abad kesembilan belas, terdapat gelaran-gelaran Imam Seri Raja Kota Lama Kanan, Imam Siraja Pakih Kota Lama Kiri, Imam Malaikat Amin Ketior, Imam Siraja Diraja Geronggong, Imam Seri Jidin Sayong, Imam Siraja Mahkota Bota, Imam SyakuI-Islam Pasir Salak dan Imam Siraja Dalam Istana Sultan[21].  Dalam abad kedua puluh, Majlis Orang Besar-Orang Besar dan ulama ditubuhkan untuk mengambil tanggung jawab mengurus tadbir hal ehwal Islam di Perak[22].

14.        Amat ketara, urus tadbir berpaksikan Islam yang merangkumi aspek perundangan, toleransi, ekonomi dan sosial ketika itu, telah diterima sebagai cara hidup masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama di bumi ini[23].  Pengiktirafan tersebut selanjutnya diterjemahkan melalui kes Raman – lawan Laton, apabila Mahkamah Rayuan bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu memutuskan bahawa Islam adalah “lex loci of the land”[24].  Begitu ketara Inggeris mengakui hakikat bahawa Islam merupakan satu-satunya agama yang diiktiraf sebagai agama bagi negeri-negeri Tanah Melayu, berkedudukan tertinggi berbanding agama-agama lain.

15.        Berasaskan hakikat tersebut, Hakim Abdul Hamid yang menganggotaiSuruhanjaya Reid telah bersetuju dengan memorandum yang dikemukakan oleh Parti Perikatan supaya Islam dijadikan agama bagi Persekutuan Tanah Melayu.  Parti Perikatan adalah gabungan parti-parti politik yang mewakili masyarakat Melayu, masyarakat Cina dan masyarakat India, tiga kaum utama di kalangan penduduk Tanah Melayu.  Dengan pertimbangan bahawa sudah terdapat 15 buah negara di dunia ketika itu meletakkan agama dalam Perlembagaan mereka,  Hakim Abdul Hamid mengakui bahawa Islam memiliki kedudukan istimewa di Negeri-Negeri Tanah Melayu dengan menyatakan:

Petikan:

“   If in these countries a religion has been declared to be the religion of the State and that declaration has not been found to have caused hardships to anybody, no harm will ensure if such a declaration is included in the Constitution of Malaya.  In fact in all the Constitutions of Malayan States a provision of this type already exists.  All that is required is to transplant it from the State Constitution and to embed it in in the Federal”[25]

16.        Tradisi pengiktirafan Islam sebagai agama Negara telah diterjemahkan melalui persetujuan yang telah dicapai oleh kaum-kaum dan kumpulan- kumpulan agama yang menghuni Tanah Melayu untuk menerima Perkara 3(1), meletakkan di dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan Perkara 3(2) untuk menjamin hak-hak, keistimewaan, kuasa prerogatif Raja-Raja di Negeri-Negeri.  Islam adalah ‘Magna Carta’, satu kontrak sosial yang tersirat, dan adalah komponen yang terkandung di dalam Perlembagaan, satu kontrak sosial yang tersurat di negara ini.

17.        Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang diperlengkap dan diperkukuh dengan beberapa peruntukan lain[26], telah memartabatkan Agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan; dan hakikat akan penerusan kedaulatan Raja-Raja Melayu di Persekutuan Tanah Melayu yang kemudiannya di kenali sebagai Malaysia.  Adalah penting untuk Perlembagaan Persekutuan ditafsirkan secara menyeluruh untuk memastikan kesemua peruntukan yang terkandung di dalamnya adalah berikat dan berkuasa.[27]

18.        Perkara-perkara utama mengenai Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsir secara harfiah.  Ia perlu ditafsirkan secara holistik, dikaitkan dengan peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan, demi memastikan, tujuan sebenar peruntukan-peruntukan tersebut tidak dimanipulasikan hingga menidakkan hak yang nyata kepada umat Islam.

19.        Dalam kes Dato’ Menteri Othman bin Baginda & Anor melawan Dato Ombi Syed Alwi bin Syed Idrus[28], Ketua Hakim Negara ketika itu, Yang Amat Arif Raja Azlan Shah memutuskan antara lain:

Petikan:

“ In interpreting a constitution two points must be borne in mind.  First, judicial precedent plays a lesser part than is normal in matters of ordinary statutory interpretation.  Secondly, a constitution, being a living piece of legislation, its provision must be construed broadly and not in a pedantic way – with less rigidity and more generosity than other Acts”

(see Minister of Home Affairs v Fisher (1979) 3 All ER 21)

Yang Amat Arif Raja Azlan Shah seterusnya menyatakan:

Petikan:

“It is in the light of this kind of ambulatory approach that we must construe our Constitution.  The Federal Constitution was enacted as a result of negotiations and discussions between the British Government, the Malay Rulers and the Alliance Party relating to the terms on which independence should be granted.  One of its main features is the enumeration and entrenchment of certain rights and freedoms.  Embodied in these rights are the guarantee provisions of Article 71 and the first point to note is that, that right does not claim to be new.  It already exists long before Merdeka, and the purpose of the entrenchment is to protect it against encroachment.”

20.        Segala yang terpahat di dalam Perlembagaan adalah dalam semangat menjunjung Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang secara tegas menetapkan antaranya, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Tanah Simpanan Melayu diperuntuk dan dipertahankan, kedudukan istimewa Orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain dilindungi, kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah Negara kekal terjamin.  Perkara-perkara ini tidak boleh dipinda di dalam Perlembagaan semata-mata melalui suara majoriti dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat atau ahli-ahli Dewan Negara tanpa perkenan Raja-Raja.  Perkara-perkara ini tidak boleh sewenang-wenangnya dijadikan modal politik untuk kepentingan politik.  Perkara-perkara tersebut adalah prinsip asas, prinsip utama yang tidak boleh sama sekali diperdagangkan.

21.        Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak di dalam Perlembagaan Persekutuan[29].  Yang Arif Hakim Mohd. Noor Abdullah dalam penghakiman kes Meor Atiqulrahman Ishak dan yang lain – lawan – Fatimah Sihi dan yang lain,[30] telah memberikan tafsiran berikut:

Petikan:

“… Peruntukan ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai’ bermakna Islam adalah agama utama di antara agama-agama lain yang dianuti di negara ini.  Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdidiri sama tegak.  Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran.  Ini bermakna Kerajaan bertanggung jawab memelihara, menyemarak dan mengembangkan Islam seperti mana yang termampu dilakukan oleh Kerajaan sekarang, dan agama-agama lain hendaklah diatursuai dan dihalatuju ke arah yang menjamin supaya ia diamalkan dengan aman damai dan tidak menggugat kedudukan utama agama Islam….”

22.        Setelah lima puluh empat tahun tanah air mencapai kemerdekaan, setelah tiga belas Raja Melayu secara bergilir bertakhta di singgah sana Ketua Utama Negara, setelah dua belas kali pilihan raya umum dilangsungkan, dan setelah enam Perdana Menteri memimpin Kerajaan Persekutuan, pentafsiran Perlembagaan dengan perspektif yang menghormati sejarah penubuhan Malaysia, amatlah penting diperingatkan semula, malah wajib terus diperingatkan sepanjang masa.  Segala persetujuan yang telah dicapai wajib dihormati.  Prinsip-prinsip asas terutama menyentuh Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali dikompromikan.  Walau apa sekalipun alasan, walau apa muslihatnya, matlamat jangka pendek oleh mana-mana pihak, jangan sampai ke peringkat menggadaikan nasib ummah di hari ini dan di hari muka.  Ummah wajib berdiri teguh – berpendirian tegas, tidak berundur ke belakang walau setapak sekalipun.

23.        Pencerobohan-pencerobohan yang dilakukan di masa lalu, hari ini perlu dibayar dengan harga tinggi oleh ummah. Abdul’llah Munsyi mencatatkan bahawa dalam adat resam Melayu, pengajian Al-Quran diperkenalkan kepada anak sebelum mempelajari Bahasa Melayu; tetapi Rafles pada tahun 1810 telah menganjurkan supaya pelajaran bahasa Melayu hendaklah diasingkan dari dasar pelajaran Al-Quran[31].   Satu arahan yang pada hakikatnya merupakan senjata halus, memulakan pemisahan pengajian Islam dalam sistem pendidikan di kalangan ummah.  Muhammad Nejatullah Siddiqi, yang dianggap penulis paling berpengaruh di kalangan generasi pertama ahliEkonomi Islam, menghuraikan bagaimana sistem pendidikan yang diwarisi di negara-negara Islam memisahkan pendidikan sekular dengan agama lalu menghindarkan peluang kepada umat Islam menguasai pengetahuan ekonomi[32].  Pelbagai muslihat yang dilakukan di masa lalu, hari ini telah menidakkan ummah kepada haknya; betapa kedaulatan Kesultanan Melayu Johor terhakis sepenuhnya dari lakaran sejarah Singapura dan betapa pula Kedaulatan Kesultanan Melayu Kedah di Pulau Pinang turut dipadam, dan betapa Melaka pada hari ini sudah tidak beraja lagi; dan betapa Hukum Kanun Melayu dihakis dari menjadi sumber undang-undang setelah diketepikan dengan penerimaan Common Law Inggeris.

24.        Penghakisan martabat agama Islam di bumi ini bukanlah sesuatu yang tidak mungkin terjadi atau tidak dirancang secara tersirat baik dari dalam mahupun dari luar negara. Jika dihalusi, usaha-usaha pencerobohan terhadap Islam bukan sahaja tampak berlaku, tetapi berlaku dalam terang lagi bersuluh.  Ia mungkin bermula dengan satu jamuan – satu nyanyian, satu perkhemahan – satu lawatan; ia mungkin bermula dengan segenggam garam – setahil emas, ia mungkin bermula dengan satu kalimah – satu ceramah.

25.        Beta pernah menzahirkan peringatan bahawa pencerobohan besar bermula dari perbuatan kecil.  Ia mungkin bermula dari sebuah surau, atau sebuah madrasah, atau sebuah masjid atau sebuah mimbar.  Ia bermula dari satu ungkapan, satu ucapan, satu khutbah, satu tazkirah atau satu doa; ia bermula dari pencerobohan kecil dan jika dalam menghadapi pencerobohan kecil, umat Islam masih belum insaf, masih berdegil dan masih sombong mempertahankan ego, masih memilih untuk bertelagah, maka umat Islam sebenarnya telah memberikan petanda yang salah; petanda seolah-olah menggalakkan pencerobohan lebih besar boleh dilakukan ke atas umat Islam dan terhadap institusi Islam.[33]

26.        Hari ini, kemusnahan ummah dan watan tidak lagi perlu menghadapi pencerobohan dari Alfonso de Alburque atau Rafles atau Francis Light atau Yamashita atau Mac Michael.  Pencerobohan-pencerobohan baru boleh berlaku melalui manipulasi fakta sejarah, melalui perbuatan mempersendakan lagu kebangsaan, melalui penghinaan bendera negara, melalui pelanggaran menghormati kalimah suci ALLAH yang sekian lama eksklusif kepada umat Islam.  Keangkuhan semakin berlaku –  toleransi umat Islam semakin dicabar.  Ummah kelihatan semakin dilemahkan, ia mungkin berpunca dari satu kenyataan, satu ungkapan.  Ia mungkin berpunca dari satu kekaburan dasar atau satu tafsiran yang salah; ia mungkin berpunca dari perlakuan rasuah atau perbuatan pecah amanah.  Walau apa puncanya, ia laksana anai-anai yang semakin membesarkan busut – yang semakin mereputkan ummah.

27.        Umat Islam wajib menghayati semangat  “BERSATU TEGUH-BERCERAI ROBOH”.  Umat Islam wajib mengambil iktibar dari peristiwa penyatuan yang dicerminkan oleh kaum lain dalam mempertahankan maruah mereka.  Dua patah perkataan yang terselit di antara ribuan perkataan dalam sebuah novel, yang dianggap menghina kaum mereka, telah menyatupadukan warga berketurunan India Malaysia untuk membantah secara habis-habisan.  Meskipun tidak ada niat penulis novel untuk menghina mana-mana kaum, tetapi atas semangat mempertahankan maruah bangsa, warga Malaysia berketurunan India dari pelbagai kumpulan politik, baik yang bersama kerajaan mahupun yang tidak bersama kerajaan, para akademia dan pelbagai organisasi, bercantum tekad – bergabung usaha, bersatu suara – bersatu tindakan atas nama mempertahankan maruah.  Tuntutan mereka menghasilkan kejayaan.  Semangat bersatu sedemikian atas nama maruah bangsa, sewajarnya dijadikan teladan.

28.        Islam akan terhakis apabila tanggung jawab terhadap urusan Islam gagal dipantau secara tegas.  Islam telah mula dijadikan instrumen bertujuan meraih pengaruh dan mendapatkan kuasa, sehingga ke peringkat sedia berkompromi kepada perkara-perkara prinsip menyentuh aqidah.  Hari ini nama suci ALLAH, dilaporkan telah diguna pakai tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam – tanpa mengendahkan  potensi yang boleh mengelirukan aqidah anak-anak Islam – tanpa mempedulikan betapa terhirisnya perasaan ummah.  Nama suci ALLAH yang termaktub di dalam Al-Quran diambil dan dijadikan terjemahan kepada perkataan God.  ALLAH adalah kalimah yang amat suci di kalangan umat Islam, kini turut dinamakan kepada simbol pujaan agama lain.  Kalimah suci ALLAH bukan sekadar “nama am” yang bermaksud “Tuhan” walau apa bentuknya.  Kesucian kalimah ALLAH amat tinggi di sisi Islam.  Kalimah tersebut bila dicetak pada kertas, tidak boleh dipijak, tidak boleh dijadikan bahan bungkusan, tidak boleh dibawa ke dalam tandas.  ALLAH adalah nama khas, Tuhan Maha Suci – Tuhan Maha Agung.  ALLAH adalah satu-satunya Tuhan berdasarkan Kalimah Syahadah yang dilafazkan:

“Bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH”;

29.        Amatlah bahaya jika prinsip asas agama diredakan  untuk dijadikan bahan tolak ansur politik.  Sesungguhnya insiden yang sedang berlaku, merupakan ujian besar kepada umat Islam di bumi ini.  Ujian yang mungkin sengaja diturunkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala terhadap umat Islam, menguji keikhlasan kepimpinan Islam di bumi ini; ujian ILAHI terhadap ketegasan umat Islam keseluruhannya, di kalangan ummah, ulama, barisan pemimpin, organisasi politik hatta Raja-Raja.  Ia adalah ujian terhadap ketegasan umat Islam untuk mempertahankan kalimah tauhid, KEESAAN ILAHI, ALLAH yang “SATU” lagi berkuasa di atas segalanya, ALLAH yang mengamanahkan kuasa di kalangan mereka yang telah ditentukan.  Dalam menghadapi cabaran besar ini, berpegang dan yakinlah kepada kalam ALLAH mengikut yang terkandung dalam ayat 26 Surah Al Imran yang bermaksud:-

Petikan:

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerinthan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki; Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.  Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan.  Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu[34]

30.        BERPEGANGLAH kepada kebesaran ILAHI, dengan bersendikan keteguhan iman, untuk berani menegakkan yang hak, menentang perlakuan mungkar. Yakinlah bahawa kuasa itu adalah amanah ALLAH, datangnya dari ALLAH, dan ALLAH akan memberi berkat, memberi petunjuk, memberi perlindungan dan memberi kemenangan kepada mereka yang memiliki kekuatan untuk mempertahankan kesucian kalam tauhid.  Hanya sanya kerana politik, umat Islam jangan sampai hilang pedoman untuk tidak menghalang sesiapa sahaja “mengALLAHkan” apa sahaja yang mereka anggap tuhan.   Satu keredaan yang membuka jendela kepada proses yang berpotensi menyimpangkan aqidah.

31.        Sudah terlalu lama umat Islam di bumi ini, berfikiran selesa dengan status bangsa, status agama dan status sejarah.  Sudah terlalu lama umat Islam berfikiran selesa sebagai pewaris kepada tanah air pusaka bangsa.  Sudah terlalu lama umat Islam berpendirian selesa sebagai penduduk majoriti di sebuah negara merdeka, sudah terlalu lama umat Islam bersandarkan keselesaan kepada tiang politik yang disifatkan kukuh.  Keselesaan umat Islam telah mengulitkan mereka leka tidur di siang hari bermimpikan bahagia.  Hari ini segala-galanya telah berlalu.  Tanpa sesuatu langkah strategik – langkah berani, umat Islam dibimbangkan sedang menghitung hari, berada di ambang untuk menghadapi nasib bermusafir kelana di rumah sendiri.  Ada kalanya  umat Islam yang berani bersuara tentang bangsanya dan umat Islam yang berpendirian tegas untuk mempertahankan kesucian agamanya, dianggap melakukan dosa kepada negara-bangsanya.

32.        Ummah mengimpikan pencapaian ekonomi yang lebih baik, profesion pekerjaan yang lebih baik, taraf hidup yang lebih baik, urus tadbir negara yang lebih baik.  Ummah mengimpikan pemerintahan adil lagi saksama; pemerintahan yang berlandaskan undang-undang yang tidak dilaksanakan secara diskriminasi, melalui badan kehakiman yang berintegriti; pemerintahan yang menghormati kesaksamaan gender, keadilan sosial, menyediakan kemudahan pendidikan yang dapat membangunkan potensi insan.  Ummah mengimpikan negara yang bebas dari kekacauan dan persengketaan; negara yang mengagihkan kemakmuran secara saksama.  Sesungguhnya masih ada jurang di antara menggapai harapan dengan realiti, lalu mencetuskan pelbagai reaksi – pelbagai kebimbangan – pelbagai keresahan.

33.        Raja-Raja Melayu sejak zaman berzaman memiliki sifat prihatin terhadap kelangsungan bangsa dan kesucian agama, dua perkara yang begitu dekat di hati Raja-Raja Melayu.  Rekod-rekod perundingan membuktikan, semasa era pentadbiran Inggeris, Raja-Raja Melayu senantiasa  mengingatkan Inggeris untuk memastikan berlakunya perimbangan terhadap peribumi dalam program yang diperkenalkan oleh Inggeris baik dari segi pendidikan, pertahanan, pekerjaan, penghijrahan, pembukaan tanah dan pelbagai perkara lagi.

34.        Raja-Raja Melayu sangat prihatin terhadap masalah perpaduan ummah di hari ini.  Ummah kelihatan berada dalam babak yang begitu taksub untuk menang ‘sorak’ tanpa memikirkan kampung lamannya mungkin tergadai.  Raja-Raja sedang memerhatikan pendirian taksub kepimpinan politik di kalangan ummah, memilih untuk berpatah arang berkerat rotan, bergembira melihat yang kalah menjadi abu dan berpuas hati walaupun yang menang akan menjadi puntung-puntung arang; pimpinan politik di kalangan umat Islam hari ini tidak lagi menghayati semangat biduk berlalu kiambang bertaut.

35.        Dalam suasana pimpinan poltik di kalangan umat Islam tidak lagi mahu bersepakat, umat Islam perlu mempunyai platform penyatuan yang kukuh – platform penyatuan yang bebas dari politik berparti.  MAJLIS di bawah payung naungan Raja-Raja perlu berada di barisan hadapan memenuhi peranan kritikal ini.  Roh Islam wajib dikembalikan.  Islam itu adalah sumber kekuatan perpaduan yang amat hebat.  Islam berperanan sebagai penentu identiti, sebagai peta spiritual di dalam hidup, memberikan panduan dan makna, tujuan dan harapan, serta berperanan sebagai faktor tersangat penting untuk membina perpaduan.  Dalam konteks negara ini, Islam memberikan identiti ummah dan identiti negara.  Islam adalah benteng pertahanan kekuatan ummah, benteng pertahanan yang gagal ditembusi oleh setiap kuasa yang pernah melakukan penjajahan politik, penjajahan budaya, penjajahan ekonomi di bumi ini.

36.        Islam tidak wajar dilihat melalui lensa politik, kerana lensa politik boleh berubah.  MAJLIS AGAMA ISLAM (MAJLIS) adalah institusi bukan politik, institusi yang bertanggung jawab secara langsung kepada Raja-Raja sebagai Ketua Agama Negeri.  MAJLIS AGAMA ISLAM diwujudkan melalui Undang-undang Tubuh Negeri sebagai Pihak Berkuasa Utama Negeri mengenai hal ehwal Islam selepas Raja Pemerintah.  Institusi ini hendaklah berstatus bebas sebebasnya dari pengaruh dan campur tangan politik berparti; dan Raja pada setiap masa wajib memastikan takhta kekal di atas politik kepartian.

37.        MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI berada dalam kedudukan yang boleh memenuhi dua peranan secara bijaksana untuk memastikan kelangsungan Islam dan survival umat Islam di negara ini.  Dalam perkara-perkara yang tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan dan dalam perkara-perkara yang tidak menderhaka kepada Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu, ‘MAJLIS’ wajiblah memenuhi peranan pelengkap, bekerjasama erat dengan Kerajaan yang dipilih secara demokratik; tetapi dalam apa juga usaha yang bercanggah dengan semangat asal Perlembagaan dan berunsur menderhakai Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu, ‘MAJLIS’ wajib secara tegas – secara lantang, berpegang kepada prinsip, menolak serta menentang; serta segera menyembahkan kepada perhatian Raja-Raja cadangan-cadangan alternatif demi mempertahankan syiar Islam – demi menjamin ummah tidak berakhir dengan nasib berdagang di bumi sendiri.

38.        Peranan MAJLIS kini semakin kritikal dan masa tidak memihak kepada umat Islam kerana kekayaan ekonomi dan kekayaan intelek masih belum memihak kepadanya.  MAJLIS AGAMA ISLAM wajib keluar dari kepompong pendekatan yang usang dan berani mencabar tradisi yang jumud.  Dalam mendukung tanggung jawab besar terhadap ummah, ‘MAJLIS’ perlu melakukan perekayasaan, membawa minda keluar dari sangkar kurungan ciptaan Inggeris, mencelikkan pandangan untuk berupaya merangka rancangan dan tindakan yang lebih substantif.

39.        Hassan Al Bana dalam Usul Ishrin menggariskan Islam ialah sistem yang syumul merangkumi seluruh aspek hidup, Islam adalah negara dan watan, pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan, rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang, ilmu dan kehakiman; Islam merangkumi material dan harta benda, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan fikrah, akidah yang benar dan ibadat yang sah.[35]  Insan yang menerima Islam sebagai pegangan agamanya, memiliki ikatan dan komitmen yang mendalam kepada Tuhan Maha Pencipta.  Islam adalah Addin, satu cara hidup yang lengkap dan berkesinambungan, mengaitkan kehidupan di alam dunia dan di alam akhirat, perlu dibincangkan secara berintegrasi tanpa memisahkan komponen duniawi dengan komponen ukhrawi.  ‘MAJLIS’ wajib menghayati tafsiran sedemikian dalam hasrat melakukan transformasi peranan, transformasi agenda dan transformasi pendekatan.

40.        Justeru itu, peranan MAJLIS harus diluaskan, dimerdekakan dari minda lama yang dengan sengaja disempitkan oleh Inggeris.  Peranan MAJLIS hendaklah ditakrifkan secara bijak, disuntik dengan tenaga pemikiran dan tenaga pelaksana berwibawa untuk menghasilkan idea bernas dan program dinamik.  Selagi tindak tanduk MAJLIS tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan, Negara hendaklah mengiktiraf MAJLIS sebagai institusi strategik, berpotensi menyempurnakan tanggung jawab fardu kifayah, berperanan sebagai  benteng terakhir dan terpenting untuk menjamin kelangsungan Islam dan survival ummah walau apa pun senario politik yang berlaku di dalam negara.

41.        MAJLIS perlu menimbangkan empat platform untuk diberikan fokus utama untuk berperanan lebih berkesan dalam membela nasib ummah.

Pertama: menyemak dan menghalusi dasar-dasar negara dan pelaksanaan dasar agar tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan dan tidak bertentangan dengan wasiat Raja-Raja Melayu.

Kedua:  mengenal pasti, memantau, membantu dan memperlengkap usaha-usaha Negara untuk membangunkan taraf ekonomi, taraf pendidikan dan taraf sosioekonomi ummah.

Ketiga:  menerokai usaha untuk membangunkan modal insan dan modal sosial di kalangan ummah agar tidak tercicir dan ketinggalan dengan menyuntik perisian dan komponen latihan yang lebih relevan dengan keperluan guna tenaga semasa dalam institusi-institusi pendidikan agama di semua peringkat terutama di luar bandar.

Keempat:  memaksimumkan kegunaan infrastruktur agama Islam yang sedia ada seperti masjid dan surau, dipelbagaikan aktiviti dan dibangunkan sebagai pusat pembangunan kecemerlangan ummah.

42.        Kongres Ekonomi Bumiputera Ketiga yang dianjurkan dalam tahun 1992, dan Kongres Ekonomi Bumiputera Keempat yang berlangsung dalam tahun 1999, begitu juga Kongres Ekonomi Islam Ketiga pada tahun 2009, merumuskan resolusi khusus mengenai peranan masjid.  Ditegaskan pentingnya masjid berperanan lebih aktif, sebagai pusat pembangunan ekonomi, perkembangan ilmu dan pembangunan sosiobudaya.  Beta juga sering kali menzahirkan saranan supaya peranan masjid diperluaskan sebagai pusat pembangunan ilmu, pembangunan budaya dan pembangunan ekonomi.  Banyak masa terlibat dalam urusan merancang pembinaan sesebuah masjid, banyak sumber digunakan untuk membina sesebuah masjid.  Sebaik sampai ke Medinah, Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam tidak sekadar membinamasjid, tetapi membangunkan masjid.  Baginda lebih mengutamakan komponen perisian untuk memakmurkan masjid.  Falsafah di sebalik pembinaan masjid harus diselami, supaya belanja besar membina bangunan tersergam, dilengkapi pendingin udara, dihamparkan permaidani tebal, dikilau cahaya chandelier, tidak menjadi monumen sepi, sekadar dimakmurkan seminggu sekali di hari Jumaat, tiga puluh malam setahun di bulan Ramadhan, dua pagi setahun di pagi Aidilfitri dan Aidiladha.  Selebihnya, ia tinggal dalam isolasi sebagai bangunan sepi lagi sunyi.  Banyak masa, banyak usaha, banyak belanja, banyak sumber digunakan di bumi ini untuk membina masjid tetapi sedikit sekali usaha dilakukan untuk membangun dan memakmurkan masjid.

43.        Kongres Ekonomi Islam Ketiga berlangsung di Dewan Merdeka ini pada 12 hingga 15 Januari 2009.  Ramai pemikir dalam bidang ekonomi Islam membentangkan pelbagai fakta, huraian, pandangan dan cadangan.  Status pencapaian ekonomi umat Islam dibentangkan, ketidakcapaian matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dihuraikan, merangkumi tanggapan-tanggapan negatif terhadap DEB, terutama dari aspek penyelewengan dan ketirisan yang dilakukan oleh ummah yang mengutamakan kepentingan peribadi dan tergamak mengorbankan kepentingan ummah.  Kongres menyedari pentingnya disedarkan ummah tentang cabaran sistem ekonomi persaingan yang dinamik lagi didorong oleh faktor pasaran.

44.        Salah satu kertas yang dibentangkan dalam Kongres Ekonomi Islam Ketiga, melaporkan bahawa, dalam tahun 1999, jumlah dana masjid yang terkumpul dianggar berjumlah tiga ratus juta ringgit tetapi disimpan beku dalam akaun pelaburan [36], mencerminkan keterbatasan pemikiran, keterbatasan pengetahuan, keterbatasan pengalaman dan keterbatasan pendedahan di kalangan ummah untuk mengupayakan mereka melaburkan dana terkumpul tersebut secara lebih produktif yang dapat dimanfaatkan untuk pertumbuhan ekonomi.

45.  Turut dipaparkan perkembangan data kutipan zakat di Malaysia, meningkat dari 320.4 juta ringgit dalam tahun 2001 kepada 806.3 juta ringgit dalam tahun 2007[37]; peningkatan kutipan 150 peratus dalam tempoh enam tahun, meningkat pada kadar purata 25 peratus setahun.  Kutipan yang bertambah hendaklah diperlengkap dengan program yang memberi impak untuk membangunkan status ekonomi Islam.  Zakat hendaklah dilihat dari lensa ekonomi yang lebih luas, dilakukan transformasi imej dan transformasi peranan, diuruskan secara lebih produktif sebagai sumber kekuatan membangunkan ekonomi ummah yang lebih bermakna hingga berupaya menjadi institusi paling berjaya membanteras kemiskinan.

46.        Data di Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri menunjukkan pada tahun 2006, terdapat hampir lapan puluh sembilan ribu (89,000) ekar tanah wakaf di seluruh negara.[38]  Sebahagian besar tanah tersebut tidak dapat dibangunkan secara produktif.  Dilaporkan terlalu banyak halangan dari segi syarat dan hukum yang menyebabkan sumber ekonomi umat Islam ini terikat dan tidak dapat dimajukan.  Senario ini tentulah menuntut kepada keperluan untuk para ulama dan umara di era ini melakukanijtihad.  Kertas-kertas yang dibentangkan dalam Kongres Ekonomi Islam Ketiga, di samping melaporkan status ekonomi ummah, mengandungi banyak saranan bernas; antaranya mengenai Yayasan Wakaf Tunai, Koperasi Islam yang sangat berpotensi untuk digerakkan, Potensi Membangunkan Tanah Wakaf, Pengukuhan Institusi Mal.  Laporan lengkap Kongres setebal 875 halaman, membuktikan ummah sebenarnya tidak ketandusan idea.  Kelompangan berlaku di peringkat melaksana, cabaran berlaku di peringkat membawa keluar pemikiran sebahagian ummah untuk bersedia dan berani melakukan tafsiran yang lebih relevan dengan suasana ekonomi, suasana politik dan suasana sosial di era globalisasi.  Telah dua tahun sembilan bulan Kongres Ekonomi Islam Ketiga berlalu, sejauh manakah tindakan yang telah disusul? Institusi manakah yang telah mengambil tanggung jawab susulan secara serius?  Hari ini umat Islam sekali lagi berkongres di Dewan Merdeka ini.

47.        Sistem ekonomi Islam diturunkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala kepada umat manusia melalui wahyu[39] .  Ia adalah sebahagian dari ajaran Islam kerana itu segala hukum dan peraturannya adalah berasaskan Al-Quran, Al-Sunah, Al-Ijmak dan Al-Qias[40].  Kerana itu tindakan umat Islam dalam usaha melakukan pelbagai kegiatan ekonomi dikira ibadah dengan bermatlamatkan keikhlasan kerana ALLAH Subhanahu Wata’ala.

48.        ‘MAJLIS’ sebenarnya menghadapi cabaran besar, cukup untuk mencetuskan perasaan keterujaan.  Cabaran besar memerlukan institusi yang berwibawa untuk menghadapinya.  Jika MAJLIS bersungguh mahu menghadapi cabaran besar ini, dan jika Negara ikhlas mahu melihat MAJLIS bertenaga  dan berupaya melaksanakan tanggung jawab besar ini secara berkesan dengan memberi impak yang signifikan, maka MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI hendaklah dipertingkatkan keupayaan dan diperkasakan.   Langkah-langkah awal berikut perlu dirintis:

Pertama:  Mengemaskinikan Enakmen MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI untuk mempunyai bidang kuasa yang membolehkan MAJLIS berfungsi secara lebih berkesan, memiliki autonomi dan akauntabel kepada ALLAH dan Raja.

Kedua:  Memastikan MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI bebas dan bersih dari sebarang pengaruh, campur tangan dan penglibatan politik kepartian serta memastikan keanggotaan MAJLIS tidak disertai oleh individu yang aktif dalam parti politik melainkan yang diperkenankan oleh Raja Pemerintah dilantik atas jawatan bagi mewakili Pihak Berkuasa Negeri atau sesuatu institusi yang penting kepada MAJLIS.

Ketiga: Melantik keanggotaan yang lebih representatif dengan bilangan yang cukup dan dari kalangan yang memiliki pelbagai kepakaran untuk menjadi tenaga penggerak berupaya melaksanakan aktiviti-aktiviti ekonomi, perniagaan, perdagangan, pendidikan dalam hasrat membangunkan taraf sosioekonomi umat Islam di samping melindungi kesucian Islam

Keempat:  Menerokai kaedah dan pendekatan yang dapat memperkukuhkan kedudukan kewangan MAJLIS secara lestari.

Kelima: Menjadi pemegang amanah kepada institusi pendidikan, tabung kewangan, dan hartanah yang strategik untuk umat Islam.

Keenam:  Memperkukuhkan sumber manusia pentadbiran Majlis secara kuantiti dan kualiti dengan imbuhan setimpal yang dapat menarik modal insan berkualiti tinggi.

49.        MAJLIS hendaklah dirangka sebagai satu Dewan Pentadbiran Islam di bawah naungan, pengawasan dan pemantauan Raja, bertanggung jawab terhadap perkara berkaitan Islam.  MAJLIS dapat berperanan sebagai jambatan penghubung di antara umat Islam dengan Raja, di antara umat Islam dengan Kerajaan pilihan rakyat dan di antara umat Islam dengan warga yang tidak beragama Islam.  Negara wajib melihat MAJLIS sebagai rakan strategik yang boleh diberikan kepercayaan dan sokongan untuk kepentingan jangka panjang ummah.  MAJLIS tidak harus dibiarkan hidup bagaikan musafir kelana bersendirian mengusahakan rezeki secara kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, terus berada dalam parameter sempit yang telah digariskan oleh Inggeris pada satu masa dahulu.  Pembiayaan atau ‘endowment’ secara khusus wajib disediakan untuk akhirnya membolehkan MAJLIS mencapai status yang tidak lagi perlu membebankan negara.

50.        Jabatan Agama Islam hendaklah memahami secara jelas akan maksud dan keperluan penubuhannya.  Ia ditubuhkan untuk berfungsi kepada MAJLIS dan akauntabiliti Jabatan Agama Islam adalah berbeza dengan jabatan-jabatan Kerajaan yang lain.  Bahawa dari segi rohnya, penubuhan Jabatan Agama Islam, adalah untuk melaksanakan dasar-dasar dan perkara-perkara yang diputuskan oleh Majlis.  Tanggung jawab Jabatan Agama Islam adalah kepada MAJLIS dan kepada Raja.  Untuk itu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri perlu menghormati batas sempadan dan bidang kuasa yang terletak secara langsung di bawah budi bicara Raja, demi mengelak dari berlakunya keadaan satu kapal dua nakhoda.  Apa jua hasrat Pihak Berkuasa Negeri menyentuh Islam dan Adat Melayu hendaklah disampaikan melalui saluran MAJLIS atau dipersembahkan untuk pertimbangan Raja Pemerintah.

51.        Dalam urusan Agama Islam, Kuasa Raja Pemerintah berada di tahap paling tinggi dan wajib dipertahankan.  Ummah hendaklah mempunyai fahaman dan melakukan tafsiran yang jelas bila merujuk kepada Raja Pemerintah; bahawa yang didaulatkan adalah Takhta Pemerintahan sebagai satu institusi negara dan hendaklah disisihkan dengan sebarang perasaan kurang selesa dengan mana-mana batang tubuh peribadi.  Bahawa yang dipertahankan itu, bukan sekadar batang tubuh peribadi seorang Raja tetapi Kerajaan Baginda: kerana tanpa Kerajaan tidak akan wujud sebuah negara, tanpa negara apalah ertinya suatu bangsa[41] .  Jika takhta pemerintahan ditiadakan, akan hilanglah payung negara – payung yang selama ini memberikan naungan kepada status Islam di negara ini.  Tanpa institusi Raja berperanan sebagai Institusi Ketua Agama Islam, Islam akan berpecah kepada pelbagai puak – pelbagai kumpulan – pelbagai kabilah; masing-masing di bawah pimpinan yang berasingan; akibatnya kekuatan penyatuan usaha amar ma’ruf nahi mungkar akan beransur-ansur lemah.  Islam akan menjadi agama yang diamalkan secara individu. Pada akhirnya Islam gugur dari tanggung jawab negara, tinggal sebagai amalan rakyat yang masih cintakan agamanya; sedangkan yang tipis fahaman agamanya, akan menjadi semakin liberal – semakin bebas, malah ada di antara mereka akan sampai ke peringkat melakukan perkara-perkara yang menodai kesucian Islam.  Demikian nasib yang telah menimpa ummah di negara-negara tertentu di Asia Tengah; negara yang di suatu masa dahulu pernah menjadi pusat perkembangan tamadun Islam, melahirkan ramai ulama dan cerdik pandai Islam, kini segala-galanya hanya menjadi bahan kajian sejarah.

52.        Agama Islam dan pegangan aqidah ummah wajib dipelihara dan dilindungi sepanjang masa oleh Ketua Negara.  Islam InsyaAllah kekal menjadi identiti negara dan watan selagi kuasa dan tanggung jawab terhadap Islam kekal di bawah bidang kuasa Raja-Raja.  Secara tersurat, sejarah mencatatkan bahawa dalam perjanjian dengan Inggeris, bermula dengan Perjanjian Pangkor, Raja-Raja menyerahkan kuasa mentadbir negeri kepada Inggeris dan Inggeris bersetuju mengekalkan Islam dan Adat Melayu di bawah  kuasa Raja.  Tafsiran yang tersurat harus juga menyelami kemungkinan-kemungkinan yang tersirat; bahawa dalam perkenan Raja menyerahkan kuasa-kuasa lain, mungkin Raja sendiri sebenarnya ada muslihat, berasaskan nasihat para ulama, berpandukan petunjuk dari ILAHI, telah tidak sama sekali memperkenankan urusan Islam dan Adat Melayu disentuh, satu pendirian berwawasan jauh Raja-Raja ketika itu, yang telah menyelamatkan agama dan ummah di bumi ini.  Pernahkah digambarkan keadaan di negara ini dan nasib ummah di hari ini, jika Inggeris juga turut diberikan kuasa mentadbir urus agama dan adat.  Tentunya hari ini, status Islam tidak akan termaktub di dalam Perlembagaan Negara; sementara umat Islam tidak memiliki kekebalan dari diayah fahaman lain; membolehkan murtad begitu mudah berlaku di kalangan ummah.

53.        Betapa status Islam dan nasib malang yang bakal dihadapi oleh ummah jika institusi Raja ditiadakan, dan kerajaan pilihan rakyat yang berkuasa pada satu hari nanti, berpegang kepada doktrin pemerintahan, bahawa agama adalah urusan individu – agama adalah di luar bidang tanggung jawab negara.  Akan berkelanalah ummah, Masjid Ubudiah, (begitu juga masjid-masjid lain), mungkin bertukar menjadi muzium, tempat para pelancong dimaklumkan  bahawa di suatu masa dahulu, bangunan yang begini cantik seni binanya ini, adalah tempat ‘pengikut ajaran Muhammad’ menunaikan sembahyang.  Barang dijauhkan ALLAH dari berlakunya senario menyayat hati itu.  Untuk itu kuasa Raja Melayu dalam urusan Agama Islam dan Institusi Islam sangat perlu dipertahan dan diperkukuhkan, demi memastikan Islam terus kekal menjadi identiti Negara.  Senario yang berlaku di serata dunia menunjukkan hanya negara yang masih memiliki sistem pemerintahan beraja yang dapat meletakkan Islam sebagai agama rasmi Negara.  Dalam hasrat membina kekuatan ummah dan jati diri bangsa dan dalam hasrat memastikan kelangsungan ummah, kuasa-kuasa prerogatif yang kekal diperuntukkan kepada Raja-Raja wajib dirujuk secara bijaksana.

Ya ALLAH, Ya AZIM, Ya AZIZ, Ya MALIK, YA WAHID, TUHAN yang MAHA BERKUASA lagi MAHA MENGETAHUI

54.        Kepada Mu jua hamba-Mu memohon agar ISLAM kekal menjadi identiti negara – identiti watan; identiti ummah – identiti bangsa.  Kepada Mu juga hamba-Mu ini memohon agar melimpahkan kekuatan dan kegagahan, keberanian dan ketegasan di kalangan mereka yang telah Engkau angkatkan darjat menjadi khalifah, di kalangan mereka yang telah Engkau amanahkan dengan tanggung jawab sebagai ulama dan umara di bumi ini.  Hamba-Mu amat insaf akan Firman Mu yang terkandung dalam ayat 72 Surah Al-Ahzaab;bermaksud:

Petikan:

“ Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggung jawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya) maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya.  (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan[42]” 

Kepada Mu jua YA ALLAH

55.        Limpahkanlah segala nur dan petunjuk kepada Raja-Raja kami, demikian juga  kepada para ulama dan umara kami, untuk bersatu niat – bersatu usaha; bersatu hati – bersatu jiwa, sama-sama berjaya membentuk sebuah negara yang sejahtera dan mendapat keampunan Mu – ‘BALDATUN TAYYIBATUN WA RABBUN GHAFUR’[43] seperti mana yang Engkau gambarkan dalam ayat 15 SURAH SABA.  Limpahkanlah segala ihsan Mu kepada Raja-Raja kami yang mendukung tanggung jawab berat selaku Amirul Mukminin seperti yang terkandung dalam lafaz ikrar sumpah jawatan untuk memelihara Islam – untuk menyempurnakan pemerintahan secara adil dan aman.  Hamba-Mu amat insaf betapa amanah dan tanggung jawab tersebut akan dinilai di hari kebangkitan seperti peringatan Mu yang terkandung dalam ayat 9, Surah Al Imran bermaksud:

 

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada keraguan padanya, Sesungguhnya ALLAH tidak memungkiri janji Nya[44]

Mohon kami YA ALLAH mendapat rahmat bimbingan dan pengampunan dari Mu jua.  Amin, Ya Rabul Alamin.

56.        Adat Melayu menetapkan tugas Raja di junjung, kerja sendiri dikendong.  Dalam semangat adat Melayu itu, sekadar ini yang dapat Patik menjunjung titah menyempurnakan hasrat Duli-Duli Tuanku Raja-Raja Melayu untuk Patik menyampaikan amanat di Kongres ini.  Dalam kapasiti patik selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, patik merafak sembah penuh taat – penuh setia kepada Duli-Duli Tuanku, dan dengan limpah rahmat dari ILAHI juga, serta daulat dan perkenan Duli-Duli Tuanku, Patik dan ahli-ahli MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU PERAK akan setiap masa, berazam mempertahankan kesinambungan tradisi negara beraja – rakyat bersultan, agar kekal subur sepanjang masa dan akan pada setiap waktu menjunjung titah hasrat Duli-Duli Tuanku selaku payung agama dan payung negara.

Semoga Duli-Duli Tuanku Selamat Bertakhta.

DAULAT TUANKU,

ALLAH HU AKBAR! ALLAH HU AKBAR! ALLAH HU AKBAR.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


[1] Al-Quran –Saba – 34:1

[2] Sumpah Jawatan Yang Dipertuan Agong, Perkara 37, Jadual Keempat, Bahagian 1, Perlembagaan Persekutuan.

[3] Mahayuddin Haji Yahya, Penyebaran Islam Di Tanah Melayu Sebelum Lahirnya Kerajaan Melayu Melaka: Sejarah Dan Implikasinya dalam Polemik Sejarah Malaysia – Jilid 1, (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia 2008) 31

[4] Encyclopedia of Islam, 1218

[5] Abdul Monir b. Yaacob, Undang-undang Islam Dalam Hukum Kanun Melaka Dalam Polemik Sejarah Malaysia-Jilid 1.  (Kuala Lumpur: Arkib NegaraMalaysia, 2008), 319

[6] Abu Bakar Abdullah, Ke Arah Perlaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia: Masalah Dan Penyelesaiannya, (Kuala Terengganu: Pustaka Damai, 1986) 8.

[7] Abdullah Alwi Hassan, “Perkembangan Institusi Pentadbiran Islam Di Malaysia”.

[8] A. Aziz Deraman, Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia: Suatu Analisis Perkembangan Kebudayaan I Malaysia, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003) 109.

[9] Ibid 105.

[10] Ibid.

[11] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, 19.

[12] Ibid 22

[13] Ibid 20.

[14] Abdullah Alwi Hassan, “Perkembangan Institusi Pentadbiran Islam di Malaysia”, Konvensyen Kebangsaan Sejarah Malaysia, (Jabatan Sejarah, Universiti Malaya: 16-18 Ogos 1994), 1.

[15] Muhammad Yussoff b. Hashim, Kesultanan Melaka dan Budaya Politik dalam Polemik Sejarah Malaysia Jilid 1, (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2008) 192.

[16] T. Arnold, The Caliphate, (Karachi: Oxford University Press, 1965), 50; S,N.H. Naqvi, Ethicsand Economy: An Islamic Approach, (Leicester: Islamic Foundation, 1981) 45-47.

[17] Mahamad Naser bin Desa, “Kekebalan Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan”, Wacana Ilmiah, ILIM 2009, 1

[18] Ibid.

[19] Abdullah Alwi Hassan, opcit, 19.

[20] R.J. Wilkinson, Notes on Perak, History: Papers on Malay Subjects, History Pt. II, (Kuala Lumpur: F.M.S. Govt. Press, 1924) 69-71; E. Sadka, “The Journal of Sir Hugh Low, Perak. 1887”, JMBRAS, Vol. XXVII, Pt. 4, No. 168 (1954), 107-108. dlm Abdullah Alwi Hassan., 19.

[21] R.J. Wilkinson, opcit, 72, dalam Abdullah Alwi Hassan, 19.

[22] Perak State Council Minutes, 1877-82, dicetak di dalam R.J. Wilkinson,Papers on Malay Subjects, Ser 1, History Pts 3 and 4, (1907-1909), Passim; Perak Annual Report, 1932, 3. dalam Abdullah Alwi Hassan, 20.

[23] Ibid.

[24] (1927) 6, FMSLR 128, dipetik dari Mahamad Naser bin Desa.

[25] Ahmad Ibrahim: The Position of Islam in The constitution of Malaysia, 213

[26] Perkara 11(4), 12 (2), 121 (1A), Senarai 2-Senarai Negeri – Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

[27] Abdul Kadir bin Sulaiman, Ucaptama: “Kedudukan Islam Sebagai Agama Bagi Persekutuan Dalam Perlembagaan Persekutuan”, 4.

[28] (1981) 1 MLJ 29

[29] Mahamad Naser bin Disa, opcit, 6.

[30] (2000) 1 CLJ 393

[31] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, 62.

[32] Rodney Wilson, “The Development of Islamic Economics: Theory & Practice, in Islamic Thought In The Twentieth Century, ed Suha Taji-Farouki and Basheer M. Nafi (London: I.B. Tauris, 2004) 199.

[33] Raja Nazrin Shah, “Titah Sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar” anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam, 30 Ogos 2010.

[34] Al-Quran, 3:26.

[35] Abdurrahman Haqqi, ‘Lima surah sedia panduan bernegara’, Berita Minggu, 9 Ogos 2009, 32.

[36] Fidlihan Muhammad, Mohd. Yahya Mohd. Hussin, Nurul Fadly Habidin, Mad Ithnin Salleh, Salwa Amirah Awang, “Pendidikan Pelaburan Dana Masjid: Keperluan Memperkasa Ekonomi Ummah Islam”, Kongres Ekonomi Islam Ketiga, 12-15 Januari 2009, 701.

[37] Ibid

[38] Hasnol Zam Zam Ahmad, “Cabaran Dalam Mempertingkatkan Potensi Pembangunan Tanah Wakaf”, Kongres Ekonomi Islam Ketiga, 12-15 Januari 2009, 661.

[39] Zainal Abidin Hashim, ‘Memperkasakan Ekonomi Ummah Melalui Koperasi Islam: Satu Tinjauan Strategik”, Kongres Ekonomi Islam Ketiga, 12-15 Januari 2009, 749.

[40] Ibid.

[41] Zurinah Hassan, petikan dari “Puisi Korban Hang Tuah”, Pujangga Tidak Bernama, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994), 45.

[42] Al-Quran, 33:72.

[43] Al-Quran, 34:15.

[44] Al-Quran, 3:9